Tahukah anda, pengguna kenderaan di Semenanjung Malaysia sudah boleh mula menikmati akses awal kepada subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada harga RM2.15 seliter bermula hari ini sehingga 1 Julai.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Madani mengambil inisatif memperkenalkan tiga penambahbaikan terhadap pelaksanaan sistem subsidi berkenaan untuk memudahkan peralihan demi kepentingan pengguna.
Berikut kami senaraikan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu kenyataan semalam.
1. Pengecualian Fi Tukar Hak Milik Kenderaan (THM)
- Kerajaan melaksanakan inisiatif mengecualikan fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai ini untuk memudahkan pengguna sebenar mengemas kini rekod pemilikan rasmi di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
- Hal ini kerana kelayakan subsidi dikira berdasarkan data pemilikan aktif dan urusan ini boleh dilakukan di semua pejabat JPJ negeri dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dari 4 Julai hingga 26 Julai 2026.
2. Pemindahan Kelayakan Subsidi kepada Ahli Keluarga
- Pemilik berdaftar kenderaan diesel boleh memindahkan kelayakan subsidi diesel kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang akan ditetapkan.
- Langkah ini dilakukan untuk membantu situasi di mana kenderaan tersebut didaftarkan atas nama individu lain (seperti ibu bapa) tetapi dipandu dan ditanggung kosnya oleh anak atau ahli keluarga lain.
- Mekanisme pemindahan kelayakan ini akan diumumkan menerusi saluran rasmi BUDI MADANI selepas langkah perincian teknikal dimuktamadkan oleh kerajaan.
3. Perluasan Kelayakan kepada Kenderaan Syarikat (Pikap & Jip)
- Kelayakan BUDI Diesel diperluaskan kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi jenis badan pikap dan jip selepas mengambil kira maklum balas peniaga kecil serta pengguna untuk keperluan urusan kerja harian.
- Manfaat dijangka dinikmati pengguna pikap dan jip diesel untuk perniagaan kecil, perjalanan harian serta aktiviti di kawasan luar bandar dan pedalaman, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Dalam pada itu, penerima sedia ada BUDI Diesel Individu yang telah menerima bantuan tunai RM400 pada awal bulan ini juga boleh membeli minyak pada harga bersubsidi melalui pengesahan kad pengenalan sepanjang tempoh akses awal.
Menerusi mekanisme baharu ini, lebih ramai pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini tidak menerima bantuan tunai BUDI Diesel Individu akan mendapat akses kepada harga minyak bersubsidi.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan melalui portal rasmi BUDI MADANI manakala pengguna pikap serta jip yang layak juga boleh membuat permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui platform sama.
Baca juga: “Bukan sekadar bercakap” – Mat Sabu sifatkan Jualan Agro MADANI bukti kerajaan terus bekerja