Baru-baru ini tular satu rakaman di platform media sosial memaparkan sebuah keluarga sedang meredah air banjir untuk menghantar rombongan meminang di kediaman pihak perempuan di Kuala Berang, Terengganu.
Menerusi rakaman berdurasi satu minit yang dimuat naik di platform TikTok itu, terlihat rombongan keluarga pihak lelaki turun daripada kenderaan untuk meredah air banjir melepasi paras betis.
Difahamkan, pasangan terbabit tidak menjadikan cuaca hujan berterusan itu sebagai penghalang untuk mereka mengadakan majlis pertunangan kerana persiapan sudah dilakukan lebih awal.
Malah perakam video juga mengakui cuaca pada sehari sebelum majlis berkenaan diadakan sudah semakin pulih namun tidak menyangka bakal diuji dengan gelombang kedua banjir.
“Mahu ditundakan (majlis pertunangan), tetapi persiapan semua telah dilakukan. Cuaca semalam juga sudah cantik. Tetapi dugaan hari ini, datang pula dengan gelombang kedua,” tulis perakam video di ruangan kapsyen.
Perakam video juga sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak rombongan lelaki kerana menunaikan janji mereka untuk datang meminang walau diuji dengan cuaca tidak menentu.
Cadangan untuk meredah banjir difahamkan datang dari ibu kepada bakal pengantin lelaki dan tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa terharu dengan usaha serta semangat keluarga itu.
Ramai juga pengguna tidak melepaskan peluang untuk mengirimkan doa kepada kedua belah keluarga supaya urusan mereka dipermudahkan dan berharap pasangan itu selamat sehingga ke jinjang pelamin.
“Kalau Allah sudah tentukan untuk (majlis pertunangan) jadi, memang akan jadi walaupun banjir. Hebatnya kuasa Allah. Tahniah. Semoga berkekalan sehingga ke langkah seterusnya dan bahagia selalu,” kata seorang pengguna.
“Ya Allah, sanggup pihak lelaki redah hujan banjir demi awak. Memang dia sayang sangat dekat awak itu. Saya doakan semoga awak berdua kekal hingga ke jannah.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Penangan nachos viral, seronok peruncit jajan laku habis diborong peniaga