Gelagat penjual teh ais di Indonesia yang terus menerus mengerumuni majlis agama untuk berjualan mendapat perhatian ramai.
Seperti dijangka ramai, kehadiran mereka bukan sebagai tanda solidariti kepada Sunhaji yang dimalukan oleh Gus Miftah, tetapi sebaliknya berbuat demikian untuk mendapatkan durian runtuh seperti Sunhaji.
Terbaharu menerusi satu video tular di media sosial, seorang wanita yang juga penjual teh ais merayu-rayu, meminta dihina pendakwah kontroversi, Gus Miftah.
Klip yang dikongsi lambemedannew menerusi Instagram menunjukkan wanita itu menagih kata-kata hinaan tersebut kerana mahu mengerjakan umrah.
Dia turut merayu-rayu supaya Gus Miftah memperlakukannya seperti Sunhaji sambil disaksikan anaknya yang masih kecil.
“Saya minta tolong dan memohon kepada Gus Miftah saya minta seikhlas-ikhlasnya tolong olok-olokkan diri saya pak (memperlekeh saya).
“Saya ikhlas kalau ceritanya begitu pak. Saya juga penjual ais teh. Tolong olok-olok saya pak, mana tahu saya bisa umrah dengan cara bapak olok-olokkan saya.
“Mana tahu bisa pegang duit sekepuk, pergi umrah dan punya rumah. Aamiin,” ujar wanita itu sambil memohon kepada Gus Miftah.
Menerusi laporan pada minggu lalu, sekumpulan penjual teh ais menyerbu majlis agama kerana berharap menerima nasib seperti Sunhaji.
Trend itu bagaimanapun telah mencetuskan kebimbangan berikutan golongan tersebut dikatakan cuba merebut peluang melalui jalan yang salah.
Sementara itu, Sunhaji dilaporkan sedang menjalani ibadah umrah bersama keluarganya selepas menerima tawaran daripada Gus Miftah.
Baca juga: Kisah cinta PMX dan Azizah rupanya ada kaitan dengan isteri Mahathir