Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan jenazah yang ditahan hampir 24 jam di surau Balai Islam Pekeliling, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Menteri JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di platform Facebook selepas pihaknya mendapat laporan tentang dakwaan penahanan jenazah mualaf berstatus asnaf itu.
Dalam kenyataan itu juga, Mohd Na’im turut menegaskan bahawa pihaknya mengambil perhatian serius berhubung aduan orang awam terutamanya melibatkan dakwaan isu pengurusan jenazah yang tular di media sosial, baru-baru ini.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil perhatian dengan aduan awam daripada akaun media sosial berkaitan isu pengurusan jenazah di salah sebuah surau di Kuala Lumpur. JAWI telah diarah untuk membuat siasatan serta mengambil tindakan dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai membuat satu pendedahan mengenai tindakan pihak tertentu menahan jenazah seorang wanita selama hampir 24 jam di surau yang terletak di Balai Islam Pekeliling, Jalan Tun Razak.
Jasad allahyarhamah yang merupakan seorang mualaf berstatus asnaf serta mempunyai suami orang kelainan upaya (OKU) itu didakwa ditahan oleh ‘kartel’ pengurusan jenazah selagi mana waris tidak membuat bayaran sebanyak RM2,200.
Menurut Wan Cai, ‘kartel’ terbabit bukanlah salah seorang daripada ahli jawatankuasa (AJK) surau sebaliknya orang luar yang telah diberikan pelepasan untuk menggunakan ruangan pengurusan jenazah di tempat ibadah berkenaan.
Pihak AJK surau bagaimanapun menafikan terlibat dalam memanipulasikan atau mengenakan caj yang tinggi bagi urusan pengurusan jenazah selain mengaku tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana pihak.
Mereka juga bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Jawi untuk memastikan dakwaan tersebut disiasat secara telus selain berjanji akan mengemukakan bukti menunjukkan surau tidak pernah terlibat dalam tindakan yang bertentangan dengan prinsip agama atau undang-undang.
Baca juga: “Itulah jahat lagi”, Rakyat Malaysia puas hati Mercedes putih terbakar lepas lari rempuh motor