Setiap kali menjelang Hari Natal yang disambut pada 25 Disember, kebanyakkan pusat beli-belah di Malaysia akan dihiasi dengan dekorasi bertemakan Krismas seperti pokok Pain dan lampu berwarna-warni.
Kadangkala pengunjung pusat beli-belah juga dihiburkan dengan kehadiran Santa Claus yang akan menemui orang ramai terutamanya kanak-kanak untuk sesi bergambar dan pemberian coklat atau gula-gula.
Situasi ini sudah tentulah akan menimbulkan persoalan terutamanya bagi pengunjung beragama Islam mengenai hukum bergambar bersama Santa Claus dan pokok Pain yang sinonim dengan perayaan Krismas.
Persoalan itu turut dibangkitkan dalam satu sesi ceramah oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang mana ulasannya sempat dirakam sebelum dimuat naik di aplikasi TikTok.
Menurut pendakwah yang turut dikenali sebagai UAI itu, umat Islam sama sekali tidak dibenarkan untuk membuat tindakan meniru sesuatu kaum sehingga menimbulkan salah sangka.
Perbuatan ini termasuklah menghias kediaman dengan dekorasi bertemakan perayaan Krismas sehingga orang lain menyangka penghuninya adalah penganut agama Kristian.
“Pokok Krismas sempena sambutan perayaan itu tidaklah haram. Yang haram adalah apabila kita menghias pokok itu semasa perayaan Hari Natal hingga orang menyangka rumah kita adalah rumah orang Kristian.
“Hukumnya adalah haram. ‘Orang yang meniru sesuatu kaum, dia termasuk kaum itu.’ Kena faham maksud hadis itu. Maksudnya adalah mereka yang meniru perbuatan orang kafir, bukan semata-mata tiru sahaja.
“Tetapi jika orang yang tak mengenali kita menganggap kita adalah orang kafir, haram hukumnya. Sebagai contoh, letak pokok Krismas depan rumah hias dengan lampu sebagainya dan orang lalu-lalang ingat itu kediaman penganut Kristian. Situ haram,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, perbuatan mengambil gambar di pusat beli-belah bersama dekorasi sambutan perayaan Hari Natal tidaklah haram dengan syarat bukan berniat untuk memuliakannya.
“Kalau bergambar di pusat beli-belah dengan anak dekat pokok itu tidak haram. Tetapi jangan memuliakan. Ingat setiap perayaan orang kafir, kita kena beritikad (percaya) apa yang mereka buat adalah batil (tidak benar).” Ujarnya.
Baca juga: Tandas berbau? Campurkan 1 bahan ni dalam air, ‘gerenti’ menjadi!