Pilih lelaki sakit saraf tunjang sebagai suami, ketulusan hati wanita ini buat ramai terharu

Oleh WAN SITI AMINAH

Ketulusan seorang wanita meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin walaupun lelaki pilihannya mengalami kecederaan saraf tunjang telah berjaya menyentuh hati orang ramai.

Mana tidaknya, wanita dikenali sebagai Jaweher itu setia di sisi lelaki terbabit selama 14 tahun berkenalan sehingga memutuskan untuk mendirikan rumah tangga pada 25 Disember lalu.

Kisah pasangan itu mula mencuri perhatian ramai selepas sahabat mereka memuat naik satu rakaman di platform TikTok memaparkan acara menyarung cincin selepas sah menjadi suami isteri.

Menerusi ruangan kapsyen, pemilik akaun TikTok terbabit meluahkan rasa kagum dengan ketulusan hati pengantin perempuan dan berdoa agar kasih sayang sahabatnya itu kekal hingga ke Jannah.

“Tahniah sahabat. Aku betul-betul mengagumi ketulusan dan kebaikan hati hang, Jawaher. Aku juga mendoakan semoga cinta kamu berdua kekal hingga ke Jannah. Tolong jaga sahabat saya baik-baik,” katanya.

@mirasarinazari

Tahniah sahabat.. aku betul2 mengagumi ketulusan dan kebaikan hati hg Jawaher.. Aku mendoakan semoga cinta korang hingga ke jannah.. Tlg jaga sahabat sy baik2 😭😭😭@JawaherSM #bffsforever

♬ original sound – Mirasari Nazari – Mirasari Nazari

Tinjauan di ruangan komen hantaran yang meraih 2.2 juta tontonan itu mendapati rata-rata pengguna memberikan ucapan tahniah dan pujian kepada pengantin perempuan kerana sanggup menerima suami yang serba kekurangan.

Dalam pada itu, satu rakaman temu bual antara Jawaher dan radio ERA turut dikongsikan melalui satu hantaran di akaun TikTok milik suaminya yang dikenali sebagai Mat Jeni itu.

Jawaher dalam temu bual tersebut menceritakan secara terperinci bagaimanakah suaminya itu boleh mengalami kecederaan saraf tunjang berpunca dari kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal.

“Punca utamanya pada 2010, dia kemalangan. Jatuh dari motosikal dan terbabas. Selepas insiden, dia ada ‘cervical sublaction’ (sendi di tulang leher terkehel). Akibatnya dia telantar sakit di katil selama setahun.

“Tak lama kemudian, dia kembali sembuh dan boleh mula menjalani kehidupan seperti biasa. Cuma tak boleh buat kerja-kerja berat sahaja. Sekarang ini yang menyebabkan dia terlantar adalah kerana terjatuh bilik air pada 2019,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jawaher memaklumkan suaminya Mat Jeni atau nama sebenar, Muhammad Zainizam mungkin tidak boleh menjalani pembedahan atau fisioterapi untuk sembuh kerana risikonya kini terlalu tinggi.

Mat Jeni difahamkan masih mampu makan dan mandi sendiri berikutan sebelah anggota tangannya masih berfungsi dengan baik namun memerlukan bantuan seperti diangkat ke kerusi roda untuk bergerak.

“Makan boleh buat sendiri. Kalau mandi pula orang kena tolong angkatkan ke kerusi roda. Tetapi dia boleh mandi sendiri sebab tangan sebelah masih okay. Sebelah lagi itu yang lemah sedikit.

“Risiko (pembedahan atau fisioterapi) terlalu tinggi sebab kecederaan dialami cukup dekat dengan saraf tunjang di otak. Saya memang tak boleh kalau tiada dia. Masa sakit, suami pernah suruh saya tinggalkan dia.

“Suruh cari kehidupan lain kerana tidak mahu menjadi orang yang pentingkan diri sendiri. Tetapi saya tak boleh (tinggalkan dia). Jadi saya teruskan juga kahwin dengan dia.” Ujar Jawaher.

Baca juga: Anggap macam bapa, tak sangka Ajak bagi gaji dan keuntungan kedai kedua untuk Ebby Yus