Wanita bakar motosikal tak puas hati kena tarik sebak, buat pengakuan bersalah di mahkamah

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita yang merupakan peniaga pisang goreng mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar sebuah motosikal di Pokok Assam, Khamis lalu.

Peniaga dikenali sebagai Zainatul Rafeda Zainul Abidin itu membuat pengakuan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim yang kemudian menetapkan tarikh 14 Januari depan bagi menjatuhkan hukuman sementara menunggu fakta kes.

Zainatul yang kelihatan sebak ketika mengaku bersalah di dalam kandang tertuduh itu turut berada dalam keadaan sedih sewaktu dibawa dari lokap ke mahkamah menuju kamar bicara, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, wanita yang berusia 43 tahun itu didakwa melakukan khianat menggunakan api, dengan pengetahuan akan menyebabkan kerosakan harta berupa sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam.

Motosikal yang bernilai RM7,000 itu dimiliki oleh Zainatul Shakira Amira Zaini, 22, dipercayai anak kepada tertuduh manakala kejadian berlaku di Jalan Masjid, Pokok Assam, Taiping, Perak kira-kira jam 3.50 petang 26 Disember lalu.

“Saya mengaku bersalah. Saya menyesal, Yang Arif,” kata tertuduh ketika membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadap peniaga itu di hadapan hakim.

Pertuduhan ke atas wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh pula diwakili peguam dari pihak Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) iaitu Ng Wei Jun.

Terdahulu, Muhammad Fahmi menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tidak mengganggu dan menghubungi mangsa yang juga pengadu kes itu hingga kes selesai.

Wei Jun bagaimanapun memohon agar jumlah ikat jamin dikurangkan mengambil kira anak guamnya itu bersedia mematuhi syarat tambahan ditawar pihak pendakwaan serta tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri.

Menurut Wei Jun, anak guamnya yang juga peniaga pisang goreng dan apam balik itu hanya memperolehi pendapatan sekitar RM1,000 sebulan namun perlu menyara empat anak, manakala suami tertuduh pula mengalami strok sebelah badan.

“Ini juga adalah kesalahan kali pertama yang saya buat,” kata Zainatul Rafeda ketika hakim memberikan peluang kepadanya untuk bercakap ketika mitigasi hukuman itu dijalankan.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 untuk tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang diminta oleh pihak pendakwaan.

Sebelum ini tular satu rakaman di platform media sosial memaparkan wanita terbabit mencurahkan petrol ke atas sebuah motosikal jenis Honda RSX yang berwarna hitam sebelum bertindak membakarnya.

Difahamkan, pembiayaan motosikal tersebut sudah lama tertunggak iaitu dalam tempoh sekitar 20 bulan namun pemiliknya enggan memberi sebarang kerjasama apabila kenderaan itu hendak ditarik.

Rakaman tersebut turut memaparkan sedikit kekecohan berlaku apabila beberapa orang lelaki dipercayai penarik kenderaan cuba menarik motosikal namun peniaga itu malah berang sebelum membakar kenderaan berkenaan.

Baca juga: Ansuran tertunggak 20 bulan, wanita bertindak bakar motosikal sendiri sebelum kena tarik