Dijangka ribuan warga Singapura bakal masuk ke dalam pintu sempadan Malaysia pada hujung minggu ini berikutan musim perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang.
Rakyat Malaysia diminta untuk bersedia dengan kesesakan lalu lintas di lebuhraya utama Malaysia. Ditambah pula dengan tarikh cuti sekolah panjang yang baru sahaja bermula.
Memetik dari laporan Malay Mail, pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan tempoh puncak kesesakan dijangka bermula Jumaat ini (24 Januari) sehingga 2 Februari, dengan sambutan hari pertama Tahun Baru Cina pada 29 Januari.
Pada musim cuti sekolah baru-baru ini dari 15 November 2024 hingga 1 Januari, lebih 24 juta pelancong dilaporkan melintasi kedua-dua pintu sempadan tersebut, meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Tambahan lagi, rekod baru dicatatkan pada 20 Disember 2024, apabila lebih 562,000 pelancong melintasi pintu sempadan dalam sehari, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 553,000 seminggu sebelum itu.
Ketika waktu puncak, pelancong yang menaiki kenderaan persendirian dilaporkan mengalami masa menunggu sehingga tiga jam akibat kesesakan dari arah Malaysia.
Bagi mengurangkan masa menunggu, ICA mencadangkan agar pelancong menggunakan sistem pelepasan kod QR yang lebih pantas berbanding pasport, katanya seperti dipetik Malaymail.
Selain itu, ICA mengesyorkan penggunaan perkhidmatan bas merentasi sempadan Singapura Malaysia sebagai alternatif kepada kenderaan persendirian.
Pelancong juga digalakkan memeriksa jadual perjalanan bas melalui aplikasi MyTransport.SG atau laman web pengendali bas.
ICA turut mengingatkan pelancong agar tidak membawa barang terlarang atau dikawal seperti vape ketika melintasi sempadan.
Sudah menjadi amalan tradisi, kunjungan rakyat Singapura ke Malaysia atau Malaysia ke Singapurayang menjadi amalan dua negara ini sejak daru dulu lagi.
Selain itu, sebahagian daripada rakyat Singapura masih mempunyai ahli keluarga di Malaysia.
Faktor lain yang membawa rakyat Singapura ke Malaysia juga didorong oleh kemeriahan perayaan Tahun Baharu Cina di sini, seperti persembahan tarian singa, pertunjukan bunga api, dan pesta makan besar.