Sejak kebelakangan ini, sering tular perkongsian daripada perokok tegar dan penghisap ‘vape’ atau rokok elektronik yang mengalami masalah kesihatan terutama melibatkan paru-paru akibat tabiat mereka.
Golongan ini bukan sahaja perlu mendapatkan rawatan yang sangat intensif di hospital malah ada juga di antara mereka yang kalah dalam perjuangan dan menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat sembuh.
Namun siapa sangka, tabiat yang sukar dihentikan tanpa semangat juang tinggi ini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada pelakunya sendiri malah turut menjejaskan kesihatan orang sekeliling terutamanya ahli keluarga.
Perkara ini diakui oleh seorang wanita dikenali sebagai Sistihah yang tampil berkongsi pengalaman peribadinya ketika mendapatkan rawatan di hospital kerana kesihatan merosot ekoran kehidupannya dikelilingi perokok.
Menerusi satu perkongsian video dimuat naik di platform TikTok, wanita berkenaan mendakwa paru-parunya sudah ditebuk sebanyak empat kali akibat menjadi ‘perokok pasif’ kerana sering terdedah kepada asap rokok.
“Sekarang tular tentang orang-orang yang hisap vape dan rokok kena tebuk paru-paru kan? Tetapi untuk aku pula, kena tebuk sebab jadi perokok pasif. Pada tahun 2017, paru-paru aku kena tebuk dua kali di sebelah kiri.
“Manakala pada tahun 2019 pula kena tebuk di sebelah kanan sebanyak dua kali juga. Sakit itu hanya Allah yang tahu macam mana. Sampai sekarang kesan sakit saraf itu masih ada.
“Sebab (masa mendapatkan rawatan di hospital), baring terlentang atas di katil lama sangat tanpa mengiring kiri atau kanan,” kesal wanita berkenaan dalam perkongsian video yang berdurasi 30 saat itu.
Dalam hantaran yang sama, wanita itu juga meminta agar perokok tegar atau penghidap vape lebih prihatin kepada orang sekeliling kerana dikhuatiri mereka akan diminta untuk dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Mereka turut diberi peringatan mengenai risiko penyakit jantung atau paru-paru yang semakin meningkat saban hari sekiranya terdedah kepada asap rokok mahupun vape dalam jangka masa panjang.
“Jadi berhati-hatilah wahai perokok dan penghisap vape. Jika ada nyawa yang terkorban disebabkan terhidu bau asap vape atau rokok yang kamu semua hisap, akan ada tanggungjawab perlu dipikul di akhirat kelak.
“Kajian juga menunjukkan bahawa risiko penyakit jantung dan kanser paru-paru meningkat bagi perokok pasif yang terdedah dalam jangka masa panjang. Jadi beringatlah ya, saya sudah terkena. Harap orang lain tidak terkena.” Katanya.
Baca juga: Guru terhibur murid bagi hadiah dompet berisi duit dan kad bank ibu