Semakin banyak artis lama mula memasuki dunia media sosial, malah ada yang aktif menyanyi dalam siaran langsung.
Ini mendekatkan semula mereka dengan peminat lama malah dalam masa menarik anak muda untuk menikmati lagu-lagu lama.
Buat penyanyi popular era 1980-an, Ramlah Ram mengakui dirinya tak malu digelar penyanyi TikTok lapor Harian Metro.
Sudah lebih empat dekad dalam industri seni, Ramlah Ram aktif bernyanyi di media sosial meskipun masih mendapat tawaran untuk melakukan persembahan.
“Tak kisahlah kalau ada orang (netizen) labelkan saya sebagai penyanyi TikTok sekarang ini. Bagi saya, apa yang dibuat adalah mengikut perkembangan teknologi dan peredaran zaman. Saya pun ada pendapatan sampingan.
“Malah, saya sendiri gembira dengan apa yang dibuat. Itu paling utama. Jadi, kalau nak cakap dan labelkan saya penyanyi TikTok terpulang.
“Sebab saya pun tak boleh nak ‘stop’ mulut orang,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 60 tahun itu memaklumkan menerusi media sosial juga dia dapat berhubung dengan peminat.
“Tak ada apa yang salah pun menyanyi secara langsung di media sosial seperti TikTok. Lagi pula, bukan saya seorang yang gunakannya (media sosial), orang lain pun ramai juga.
“Jadi, tak perlu nak rasa peliklah. Sebab, selain menyanyi saya dapat berbual dengan peminat. Oleh itu, ambil positif sajalah,” katanya faham setiap orang ada pandangan masing-masing.
Ujarnya, masih ada peminat tidak berpeluang membeli tiket konsert maka media sosial dilihat sebagai satu kemudahan buat mereka yang kurang berkemampuan.
Baca juga: Kita bukan sekadar gantung bendera Palestin tetapi bangunkan semula negaranya