Generasi baru di US kini tidak mahu lagi warisi perabot dari ibu bapa, ini sebabnya

Oleh KIM SYAZIE

Perkongsian seorang pengguna Facebook mengenai trend terbaru dalam kalangan masyarakat US yang tidak mahu lagi mewarisi barangan terpakai dari ibu bapa mereka, menarik perhatian ramai.

Penulis buku, Mazlan Mohamad berkata, trend itu muncul sejak beberapa tahun lalu di mana generasi kini tidak mahu lagi mewarisi perabot terpakai yang digunakan ibu bapa mereka.

Contohnya seperti katil, almari, meja, barang perhiasan dan sebagainya walaupun bernilai dan masih baik.

Ini kerana katanya, generasi sekarang bersifat lebih minimalis.

“Ada trend baru dalam masyarakat US sejak beberapa tahun lalu. Anak-anak muda tidak lagi mahu ‘warisi perabot dan barang terpakai dari ibubapa.

“Sebabnya, generasi sekarang bersifat lebih minimalis.

“Mereka lebih suka tinggal di apartment yang ringkas dan tidak mahu simpan barangan yang banyak dalam rumah. Hatta, kereta pun mereka tidak mahu miliki,” kongsinya di Facebook.

Kata Mazlan, generasi kini lebih cenderung guna duit simpanan yang ada untuk membeli pengalaman seperti pergi mengembara.

Manakala masyarakat kita hari ini pula, “hanya saka sahaja kita tidak mahu ambil”, katanya berseloroh.

Perkongsian itu mendapat tanda suka ramai yang bersetuju dengan catatan penulis berkenaan.

Biarpun kini masyarakat di Malaysia turut menuju ke arah minimalis, namun tidak dapat mengelak dari mewarisi perabot yang sudah digunakan ibu bapa.

Baca juga: Rasa Milo di setiap negara rupanya lain, Malaysia paling sedap