Anak autisme balik dari taska dengan kesan lebam, bapa kesal kes diklasifikasi sebagai NFA

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang bapa meluahkan rasa kesal apabila kes anaknya yang didakwa menjadi mangsa dera selepas pulang dari taska dengan kesan lebam di bahagian belakang badan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Menerusi satu hantaran tular di platform Facebook, bapa kepada kanak-kanak autisme terbabit iaitu Nazmi Zulkifli menyifatkan pengklasifikasian kes anaknya itu sebagai berita yang amat mengecewakan buat seisi keluarga.

Hal ini kerana menurut Nazmi, kes itu ‘dilepaskan’ dengan sebegitu mudah sedangkan pihak hospital yang merawat anaknya telah mengeluarkan laporan mengatakan kanak-kanak dikenali sebagai Ayden terbabit dipercayai didera.

Laporan daripada pusat terapi dihadiri oleh Ayden juga dikatakan dapat mengesan perubahan yang begitu ketara terhadap kanak-kanak autisme terbabit selepas kejadian itu berlaku pada 15 Januari lalu.

Nazmi dalam hantaran itu turut mendedahkan kronologi kejadian bermula daripada penemuan kesan lebam besar di bahagian belakang badan kanak-kanak terbabit ketika ingin memandikannya pada malam insiden berlaku.

“Ayden merupakan anak autistik yang memiliki masalah pertuturan. Dia hanya boleh bercakap dalam sepatah dua perkataan dan tidak mampu membina ayat dengan sempurna. Apabila ditanya siapa yang buat, dia tak mampu untuk memberi respons.

“Pada malam itu juga, saya dan isteri terus membawanya ke Klinik Utama di Seksyen 7, Shah Alam dan pihak doktor di sana berpendapat ini kesan dipukul. Kami juga cubalah untuk menghubungi cikgu Ayden namun tidak berjaya. Kami cuma dapat menghubungi cikgu lain.

“Cikgu itu beritahu bahawa dia akan cuba untuk bertanya hal tersebut pada keesokan harinya. Pagi 16 Januari, isteri yang baru balik ‘on-call’ terus membawa Ayden berjumpa doktor pakar di Hospital Shah Alam. Isteri hubungi semula cikgu itu dan dia mengatakan Ayden mungkin terjatuh semasa bermain gelongsor,” katanya.

Ibu kepada kanak-kanak itu bagaimanapun terus tampil membuat laporan polis pada pagi yang sama selepas lima doktor pakar di Hospital Shah Alam berkongsi pendapat bahawa luka di badan Ayden berpunca dari dipukul bukan terjatuh.

Sejak laporan dibuat, insiden itu tidak diceritakan kepada sesiapa di dalam tempoh sebulan memandangkan kes masih di dalam siasatan pihak polis namun semua guru taska mengaku tidak tahu adanya kesan lebam di badan Ayden.

“Lebih malang, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kelas Ayden kerana dikatakan telah rosak dan sedang diselenggara. Kenyataan cikgu yang mengatakan Ayden jatuh di gelongsor juga tidak benar. Kerana dalam CCTV, tiada kelibat Ayden bermain di gelongsor.

“Tiada sesiapa juga yang jatuh di situ. Sehingga ke hari ini, tiada tangkapan reman dibuat ke atas mana-mana cikgu di taska tersebut. Kami baru dapat berita (semalam) dari pihak polis bahawa kes ini dianggap sebagai NFA. Tiada dakwaan atau tindakan akan diambil ke atas pihak taska.

“Atas alasan, tiada bukti CCTV dan bukti tidak mencukupi. Justeru itu, kami memohon doa semoga keadilan terbela buat Ayden. Doakan semoga semua yang terlibat dalam menganiaya Ayden sama ada secara terus atau tersembunyi diberi pembalasan setimpal jika tidak di dunia, di akhirat kelak.” Kesalnya.

Baca juga: Kes penyakit kusta meningkat? Pakar kesihatan maklum ia boleh berjangkit melalui batuk, bersin