Ogy Ahmad Daud jumpa patung muka sendiri dibalut kain kafan, dakwa pernah disihir

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon veteran terkenal, Ogy Ahmad Daud baru-baru ini mendedahkan bahawa dirinya pernah menjadi mangsa sihir selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga dengan aktor versatil, Eman Manan.

Ogy juga mengakui mula merasakan perubahan dalam dirinya selepas disihir dengan mengalami gangguan aneh seperti sering melihat makhluk halus, perubahan emosi mendadak, serta rasa malas untuk bekerja.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Ogy menerusi satu sesi ‘podcast’ ataupun audio siar X’Klusif dimuat naik di platform Youtube yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan di aplikasi TikTok.

“Saya terjumpa patung muka sendiri ditanam di hadapan rumah. Ketika itu, baru beberapa bulan saya menikahi Eman. Saya perasan perubahan apabila kerap nampak benda-benda yang tak sepatutnya.

“Emosi juga tidak stabil, rasa malas nak pergi kerja. Tiba-tiba ada kalanya, boleh marah tanpa sebab. Itulah antara yang saya lalui,” kata pelakon berusia 61 tahun itu dalam sesi pendedahan tersebut.

@tanahberdaulat.tv

Replying to @www.tikto.my.waty81 Ikuti luahan rasa Fauziah Ahmad Daud di saluran YouTube Tanah Berdaulat TV. Terbaik, hanya untuk anda! #tanahberdaulattv #xklusifbersamasyahril #ogyahmaddaud #sihir #fauziahahmaddaud

♬ original sound – Tanah Berdaulat TV – Tanah Berdaulat TV

Menurut pemilik nama sebenar Fauziah Ahmad Daud itu, gangguan sedemikian berterusan sehingga isteri kepada pelakon veteran, Datuk Tarmimi Siregar iaitu Tengku Asmah tampil menghulurkan bantuan.

Tengku Asmah ketika kejadian bertindak menghubungi seorang Imam di dalam usaha untuk memulihkan Ogy daripada terus menerima gangguan mistik dengan cara memutuskan sihir tersebut.

“Perkara itu berterusan sehinggalah isteri Datuk Tarmimi Siregar memanggil Imam Masjid Kampung Baru datang ke rumah saya. Imam itu masuk sahaja terus dia kata, ‘Ada benda dekat depan itu. Korek sekarang’.

“Apabila (tempat yang ditunjukkan) dikorek, terjumpalah patung muka saya yang dibalut dengan menggunakan kain kafan dan penuh dengan jarum. Imam suruh saya buang benda itu.

“Dia minta saya cari tujuh masjid, mandi dengan airnya dan menunaikan solat sunat Taubat,” kongsinya yang turut memberitahu itulah kali pertama dirinya melihat sendiri bukti bahan sihir yang dihantar kepadanya.

Sekadar info, Ogy Ahmad Daud dan Eman Manan pernah mendirikan rumah tangga pada 23 Disember 1990 lalu sebelum mereka memutuskan untuk membawa haluan masing-masing dengan bercerai 13 tahun kemudian.

Hasil perkongsian hidup bersama, pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata namun Ogy pernah mengambil seorang anak angkat iaitu Nur Aminah Aishah yang kini berusia 17 tahun.

Baca juga: Anju menyesal ‘buat’ hidung, rupanya klinik guna silikon terpakai!