Pendakwah bebas, PU Syed meluahkan rasa kecewa selepas sebuah pusat pendidikan kendaliannya menerima hampir 20 kilogram daging korban yang didakwa sudah rosak dan tidak lagi sesuai untuk dimakan.
Menerusi hantaran di Facebook, PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak Benyahya berkata sekitar 20 bungkusan daging korban dihantar oleh seorang individu ke Kompleks Pendidikan Baitul Dhiya’ pada petang semalam.
Bagaimanapun, menurutnya, tukang masak di kompleks itu memaklumkan bahawa daging berkenaan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan selain bertukar kehitaman.
Malah, individu yang menghantar daging tersebut dikatakan memaklumkan bau itu berpunca daripada darah, namun keadaan daging didakwa menunjukkan sebaliknya.
PU Syed turut mempersoalkan tindakan menyerahkan daging korban yang dipercayai sudah hampir sebulan disimpan sebelum diberikan kepada pihak madrasah.
“Jika nak beri dalam keadaan daging masih okey kami bersyukur. Tetapi dalam keadaan macam ini baru nak diberikan, tidakkah ini tindakan yang tak bagus?
“Kami terima sumbangan tetapi biarlah yang baik dan masih sempurna,” katanya.
Beliau turut berkongsi potongan ayat 92 Surah Ali ‘Imran yang mengingatkan umat Islam supaya mendermakan harta yang disayangi bagi mencapai kebajikan yang sempurna.
Dalam hantaran susulan, PU Syed memaklumkan hampir 20 kilogram daging yang diterima itu akhirnya terpaksa ditanam kerana tidak lagi selamat untuk dimakan.
“Akhirnya dekat 20kg daging yang dihantar semalam kami tanam sahaja.
“Janganlah ulang perkara yang sama wahai tuan dan puan. Berilah sesuatu itu yang terbaik, bukan sisa-sisa kepada mana-mana madrasah,” katanya.
Baca juga: Gayakan pakaian dalam wanita di luar baju, Mufti Kelantan tegur wanita berniaga