Apa hukum puasa setengah hari untuk kanak-kanak? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus

Oleh WAN SITI AMINAH

Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus merungkai persoalan mengenai hukum berpuasa setengah hari buat kanak-kanak susulan ditanya mengenainya di dalam satu sesi ceramah.

Hal ini kerana ramai ibu-bapa mengambil peluang untuk melatih anak-anak berpuasa di dalam tempoh singkat di bulan Ramadan sebagai langkah persediaan agar dapat memenuhi rukun Islam itu kelak.

Jelas pendakwah terbabit, melatih kanak-kanak dengan mengajar mereka berpuasa setengah hari adalah salah satu kaedah yang bagus untuk diamalkan oleh ibu bapa sebagai persediaan awal.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, Ustaz Azhar turut memberikan peringatan untuk tidak bertindak memaksa anak kecil berpuasa penuh di luar kemampuan mereka ataupun melatih terlalu awal.

“Moleklah (Baguslah) kalau melatih anak berpuasa. Tetapi janganlah paksa mereka. Kalau baru berumur enam atau tujuh tahun, biarlah mereka berpuasa ikut kemampuan,” katanya dalam sesi ceramah tersebut.

Penjelasan Ustaz Azhar di dalam sesi pertanyaan itu juga boleh ditonton menerusi satu hantaran video berdurasi 58 saat dimuat naik di platform TikTok yang memaparkan sedutan ceramah berkenaan.

Dalam perkongsian tersebut, Ustaz Azhar turut memberi makluman mengenai waktu yang paling sesuai di dalam melatih anak-anak berpuasa sepertimana yang dituntut agama adalah ketika berusia tujuh tahun.

Pendakwah berkenaan turut menegaskan bahawa latihan tidak boleh dilakukan dengan paksaan sebaliknya secara berperingkat sehinggalah mereka benar-benar bersedia untuk berpuasa penuh.

“Langkah yang sebetulnya, kita boleh mula melatih anak puasa ketika mereka berumur tujuh tahun. Kalau sudah melatih dengan lebih awal juga tidak mengapa. Tetapi di usia inilah yang lebih afdal.” Jelasnya dalam rakaman itu.

Baca juga: Beli biskut RM2.40 kemudian jual balik harga RM10, cara baru minta sedekah?