Tindakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menanam bawang rose Ehsan di sekitar kediaman rasminya telah menuai pujian kerana menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai.
Pemimpin yang lebih mesra disapa dengan sebagai Bang Mat atau Mat Sabu itu memaklumkan penyemaian 1,000 benih bawang berkenaan dilakukan bagi memanfaatkan kawasan kosong di kediaman rasmi menteri.
Aktiviti pertanian baharu tersebut diusahakan Mohamad Sabu yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Raja itu susulan kejayaannya sebelum ini dalam menternak ikan tilapia di rumahnya pada tahun lalu.
Menurutnya, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) iaitu Datuk Dr Mohamad Khairil.
“Bang Mat memanfaatkan kawasan yang ada di kediaman rasmi menteri dengan menyemai 1,000 benih bawang rose Ehsan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr. Mohamad Khairil.
“Kaedah yang Bang Mat gunakan ialah ‘Raised Garden Box’ dengan keluasan 20′ x 20′, supaya tanaman lebih teratur dan mudah untuk diuruskan,” kongsinya dalam satu hantaran dimuat naik di platform Facebook.
Menerusi perkongsian yang sama, Mohamad Sabu turut berkongsi beberapa keping gambar memaparkan dirinya sedang berkaki ayam sambil menyemai benih berkenaan di tanah lapang di kediaman tersebut.
Mohamad Sabu juga memaklumkan bahawa dia sebelum ini telah berkunjung ke Selangor Fruit Valley untuk melihat sendiri proses penanaman bawang rose Ehsan di kawasan seluas 10 hektar.
“Usaha ini selaras dengan komitmen kita bersama dalam memastikan keterjaminan makanan negara. Insya-Allah, semoga usaha ini membuahkan hasil yang bermanfaat,” ulasnya dalam hantaran tersebut.
Perkongsian itu berjaya mengundang pelbagai respon dari rakyat dengan rata-ratanya memuji pemimpin terbabit berikutan telah menunjukkan contoh yang baik sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Ramai juga pengguna berharap supaya benih tersebut diedarkan secara meluas suatu hari nanti berikutan mahu mencuba menanam bawang di kediaman mereka sendiri seterusnya rakyat dapat menerima hasil secara terus.
“Contoh yang baik. Macam mana kami boleh dapatkan benih itu ya? Jika boleh, diedarkan di setiap daerah cantik juga. Lantik pembekal ataupun melalui pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” kata seorang pengguna.
“Menarik. Kalau boleh, kongsikan juga teknik dan kaedah penjagaan bawang rose Ehsan ini. Mungkin rakyat juga boleh cuba tanam sendiri di rumah nanti.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Ebit Lew ziarah Mak Wan latah, ramai terkejut lihat keadaan terkininya