Wanita terkejut tengok gulai ketam suami beli di bazar Ramadan, masih berikat getah!

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah terkejutnya seorang wanita apabila mendapati ketam yang sudah siap dimasak bersama kuah gulai dibeli suaminya masih berada dalam keadaan berikat dengan getah.

Menurut wanita terbabit, lauk gulai ketam tersebut dibeli oleh suaminya di sebuah bazar Ramadan untuk dijadikan sebagai juadah berbuka puasa buat mereka sekeluarga di rumah.

Penemuan yang mengejutkan itu kemudian dikongsikan kepada orang ramai menerusi satu hantaran berbentuk video berdurasi lapan saat dimuat naik di akaun TikTok milik wanita terbabit.

Dalam hantaran itu, wanita terbabit menjelaskan bahawa gulai ketam berkenaan dijual dalam keadaan sudah siap dibungkus membuatkan suaminya tidak perasan hidupan laut tersebut masih terikat getah.

Situasi ini sudah tentunya mengundang perasaan sangsi pembeli terhadap penjagaan kebersihan peniaga sama ada ketam tersebut sudah dibasuh dan disiang terlebih dahulu sebelum dimasak gulai atau sebaliknya.

@nurulbadriah_88

mmg ore gulai ketam gni ko eh…. 😇 bila cik suami tliur gulai ketam, dia beli ni hok siap bungkus doh #fyp #fypシ #bazarramadan #bazar #Ramadan

♬ suara asli – king – PESAN KHUSUS

“Terkejut kau tengok ketam diikat sebegitu rupa. Ingatkan syaitan sahaja kena ikat di bulan puasa ini. Apabila encik suami terliur gulai ketam. Dia beli lauk yang sudah siap dibungkus (oleh peniaga),” katanya dalam hantaran itu.

Wanita itu memaklumkan bahawa gulai ketam tersebut tetap dimakan di bahagian isi walaupun merasa sedikit sangsi kerana belanja yang banyak telah dikeluarkan untuk membelinya.

Ketam yang digunakan di dalam gulai itu juga dipercayai merupakan hidupan laut bukanlah sungai membuatkan keluarga mereka percaya ia bersih meskipun mungkin tidak dicuci oleh peniaga.

“Selepas terkejut tengok ketam diikat macam syaitan di bulan puasa ini, saya terus gunting dan buang getah itu. Kasihan ketam itu lenguh. Husnuzon sahaja ini. Tetapi orang kata ketam laut ini tidak mengapa.

“Bersih sahaja. Tak macam ketam sungai,” jelas wanita itu di dalam ruangan komen bagi menjawab pelbagai soalan daripada pengguna TikTok berhubung gulai ketam berikat getah berkenaan.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berpendapat bahawa gulai tersebut tetap bahaya untuk dimakan berikutan dimasak dengan getah dalam suhu yang tinggi.

Ramai juga pengguna mencadangkan supaya wanita itu melaporkan kejadian kepada pihak berwajib berikutan kebersihan sangatlah penting dalam penjualan makanan selain dikhuatiri kejadian yang sama berulang lagi.

Baca juga: Sibuk hantar barang masa berbuka, keluarga ni siap jemput abang J&T makan sekali