Alangkah kecewanya seorang pembeli apabila mendapati seketul ayam bakar yang dibeli bersama nasi kerabu telah dihinggapi lalat sehingga bertelur di beberapa bahagian sebelum makanan tersebut sempat dijamah.
Difahamkan, nasi kerabu berlauk ayam bakar berkenaan dipercayai dibeli oleh pelanggan terbabit di salah sebuah gerai terletak di bazar Ramadan untuk dijadikan sebagai juadah berbuka puasa.
Penemuan itu kemudian dirakam oleh pembeli sebelum video berdurasi 15 saat memaparkan keadaan ayam bakar yang telah dihinggapi lalat tersebut dikongsikan kepada orang ramai menerusi hantaran di platform TikTok.
Dalam hantaran tersebut, pembeli itu mengakui memang teringin memakan nasi kerabu bagaimanapun hasratnya bukan sahaja tidak tercapai malah turut menghilangkan seleranya untuk berbuka.
“Kitanya ‘craving’ (teringin makan nasi kerabu). Tetapi dapat macam ini. Promosi bulan Ramadan, beli nasi percuma telur lalat,” kata pembeli terbabit meluahkan kekesalannya dalam perkongsian itu.
Berdasarkan rakaman tersebut, terlihat pembeli sedang menunjukkan keadaan ayam bakar itu di mana sekurang-kurangnya tiga bahagian telahpun dicemari dengan telur serangga berkenaan.
Perkongsian tersebut telah mengundang perbincangan hangat di kalangan pengguna TikTok tentang penjagaan kebersihan makanan dijual di bazar Ramadan yang mana rata-ratanya khuatir dengan keadaan kesihatan pembeli sekiranya hidangan itu sempat dijamah.
Ramai juga pengguna mengakui rasa sangat geli melihat ayam bakar tersebut selain berkongsi pendapat bahawa nasi yang dibungkus dengan cara sedemikian memang mudah dihinggapi lalat terutamanya jika tidak ditutup rapat dan berhati-hati.
“Perasan tak kalau bungkus nasi guna pembalut macam ini, sudah pasti ada telur lalat. Saya bukanlah nak kata tak boleh pakai, tetapi banyak kali kena. Dekat video ini juga tunjuk perkara yang sama,” kata seorang pengguna.
“Ini kalau pelanggan termakan, kemungkinan hampir tiga minggu juga muntah dan berak. Boleh membawa maut.” Kongsi pengguna lain mengenai bahayanya keracunan makanan terhadap kesihatan manusia.
Baca juga: CCTV rakam lelaki bertelekung dan curi bag jemaah ketika solat