Pelakon popular, Aaron Aziz mendakwa telah ditipu oleh sebuah agensi pengurusan umrah hingga menyebabkan dirinya terpaksa berhadapan dengan kerugian mencecah RM90,000.
Menurut pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz itu, agensi berkenaan juga tidak pernah membuat sebarang pembayaran gaji atau komisen hasil daripada kerjasama yang mereka jalani selama ini.
Lebih memburukkan keadaan, agensi pengurusan umrah tersebut tidak melunaskan hutang berjumlah mencecah RM90,000 yang dipinjam oleh pihaknya daripada pelakon berusia 49 tahun itu.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Aaron menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya bersama rakaman memaparkan dirinya sedang berada di sebuah hospital.
“Selepas kes isteri, sekarang saya pula kena. Gaji tak dapat, komisen juga tidak diterima. Malah saya berikan pinjaman hampir RM90,000 juga tidak dibayar,” kongsi Aaron dalam hantaran tersebut.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku tidak lama selepas isterinya iaitu Datin Diyana Halik yang juga merupakan pengurus Aaron dan usahawan turut berhadapan dengan masalah wang syarikat dicuri oleh pekerja sendiri.
Ujian bertalu-talu yang kini menimpa keluarganya telah memberikan kesan kepada tahap kesihatan pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.
“Sekali lagi syarikat haji umrah buat hal. Itulah, buat baik berpada-pada kata orang tua. Sampai di hospital, tekanan darah adalah sebanyak 179.” Katanya yang turut berkongsi bacaan tekanan darah lebih tinggi berbanding normal dalam rakaman tersebut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi pendapat bahawa kes penipuan melibatkan pengurusan haji dan umrah seperti semakin meningkat selain menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati selepas ini.
Ramai juga pengguna berharap agar Aaron segera diberi kesembuhan oleh Allah SWT dan dikurniakan kekuatan untuk menempuhi ujian yang menimpa kita di atas izin Yang Maha Esa.
“Hati-hati dengan agensi pelancongan sekarang. Ada juga yang hutang RM150,000, senyap sampai ke hari ini. Pihak agensi uruskan umrah dan haji juga. Jadi berhati-hatilah dalam membantu terutamanya kepada mereka yang bergelar kawan. Semoga Allah membalasnya,” kata seorang pengguna.
“Tekanan darah tinggi atas dan bawah itu. Tolonglah jaga kesihatan Datuk! Ingatlah, kita terlibat di dalam masalah yang tak habis-habis ini adalah di atas keizinan Allah SWT. Semoga Allah keluarkan kita dari rasa sakit hati dan dijauh dari golongan penipu.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Nilai pasaran Arif Aiman dan Luqman Hakim dianggap macam langit dan bumi