Serangan udara di Gaza ragut 8 nyawa petugas MAPIM, syahid ketika pasang khemah untuk pelarian

Oleh WAN SITI AMINAH

Seramai lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) syahid dalam serangan udara tentera rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza pada Sabtu lalu.

Ketika kejadian sekitar pukul 1.30 tengah hari itu berlaku, petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan dari tentera Israel.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM iaitu Datuk Sani Araby tampil mengecam sekeras-kerasnya serangan yang disifatnya sebagai satu jenayah perang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di platform Instagram, MAPIM juga menyeru rakyat Malaysia untuk melakukan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara di Gaza.

“Tindakan menyerang petugas kemanusiaan adalah satu jenayah yang paling keji dan tidak berperikemanusiaan. MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah demi keselamatan saudara kita di Gaza,” katanya.

Tiga petugas media yang sedang melaporkan misi-misi kemanusiaan di Gaza turut menjadi antara mangsa dalam serangan tersebut di mana MAPIM mengakui kehilangan insan-insan yang komited dan ikhlas berkhidmat dalam membantu mangsa perang.

MAPIM bagaimanapun menegaskan bahawa kejadian itu tidak melemahkan semangat mereka untuk berbakti sebaliknya meneruskan bantuan kemanusiaan di Gaza meskipun berhadapan dengan risiko dan cabaran besar.

“Kita tidak mempunyai pilihan lain selain terus bersama saudara di Gaza. MAPIM tetap teguh untuk meneruskan bantuan kemanusiaan di Gaza walaupun berdepan risiko dan cabaran besar.

“MAPIM juga menyeru rakyat Malaysia untuk bersatu hati, memperbanyakkan doa dan menunjukkan solidariti bersama Palestin. Serangan ini adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa

“Masyarakat antarabangsa juga harusnya mesti bertindak segera menghentikan keganasan ini.” Jelasnya lagi dalam hantaran yang menamakan lapan petugas terkorban di dalam serangan udara tersebut.

Kesemua petugas kemanusiaan yang dikenal pasti terkorban adalah rakyat Palestin iaitu Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Muhammad Al-Ghafir, Hazeem Ghareeb, Bilal Abu Matar, Mahmoud Khaled Aslim, Bilal Hossam Aqila, Mahmoud Samir Aslim dan Ahmad Hamad.

Baca juga: Arab Saudi berhabis USD15 bilion bina semula Kota Al Ula, pemuda ini saran umat Islam jangan datang