Wanita kongsi petua ibu agar tepung melekat pada sotong, jangan lupa tambah bahan ini!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pernahkah pembaca mengalami insiden di mana pelayan restoran menghidangkan sajian yang kelihatan seperti ‘donat’ selepas memesan menu Sotong Celup Tepung di mana-mana kedai makan?

Lain dipinta namun lain pula yang dapat, pastinya ada di antara kita merasa kecewa malah marah apabila tukang masak restoran gagal menyediakan hidangan menepati cita rasa para pelanggan.

Walau bagaimanapaun, tidak dinafikan bahawa hidangan kegilaan ramai iaitu Sotong Celup Tepung yang cukup rasa serta rangup dimakan sememangnya bukan mudah untuk disediakan.

Prihatin dengan situasi ini, seorang wanita kemudian tampil untuk berkongsi petua rahsia ibunya di dalam menyediakan sendiri hidangan tersebut di rumah namun sudah dijamin rangup dan enak.

Wanita dikenali sebagai Iella Mohamad itu berkongsikan perkara tersebut menerusi satu hantaran di dimuat naik di platform Facebook dengan harapan dapat memberikan manfaat kepada orang ramai.

“Benda boleh masak di rumah. Buat apalah susah-susah makan dekat kedai. Lagi jimat sebenarnya kalau goreng sendiri, ya dak? Jadi inilah cara saya menyediakan Sotong Celup Tepung.

“Selamat mencuba. Semoga resepi daripada mak saya ini bermanfaat kepada anda semua,” tulis Iella di hantaran yang dikongsi melalui kumpulan Facebook, Masak Apa Hari Ini (MAHN).

Bahan-bahan:

  • Sotong (dicuci bersih dan buang kulitnya)
  • Tepung beras Cap Gajah
  • Sebiji telur
  • Sedikit air kapur
  • Sedikit garam
  • Pewarna (boleh juga guna serbuk kunyit)

Cara memasak:

  1. Campur semua bahan di dalam satu mangkuk kecuali sotong. Pastikan bancuhan tidak terlalu pekat dan juga tidak terlalu cair.
  2. Dalam bekas lain, gaulkan sotong dengan satu sudu tepung beras kering terlebih dahulu. Ini bagi memastikan bancuhan melekat pada hidupan laut itu apabila digoreng nanti.
  3. Setelah selesai digaul, barulah boleh dimasukkan ke dalam bancuhan yang telah disediakan tadi.
  4. Sotong sudah boleh digoreng. Namun, pastikan minyak betul-betul sudah panas sebelum memasukkannya ke dalam kuali.
  5. Goreng hidupan laut tersebut sehingga keperangan dan rangup mengikut selera anda. Selamat mencuba!

“Jika mahu mengelakkan sotong meletup ketika digoreng, bersihkan dan buang kulit sotong terlebih dahulu. Lapisan kulit tersebut dipercayai menjadi punca ia meletup.

“Pastikan jangan lupa untuk gaulkan sotong bersama beras sahaja dahulu. Selepas itu, barulah masukkan sotong ke dalam bancuhan pertama,” tulis wanita berkenaan.

Baca juga: Tawar servis setahun sekali, runner sanggup beratur lama untuk tukar duit raya