View Chin berjaya puasa 28 hari di bulan Ramadan, Mira beri ganjaran Toyota Alphard

Oleh WAN SITI AMINAH

Personaliti media sosial dan juga pengacara jualan secara langsung di TikTok dikenali sebagai Mira kembali mencuri perhatian baru-baru ini selepas berkongsi rakaman ketika dirinya membuat kejutan buat pasangannya.

Mana tidaknya di dalam rakaman berdurasi tiga minit 52 saat tersebut, Mira atau nama sebenarnya Amirah Aqilah Firdaus dilihat menyediakan sebuah kenderaan mewah iaitu Toyota Aplhard sebagai salah satu kejutan.

Rupa-rupanya, kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah itu dihadiahkan Mira kepada pasangannya iaitu View Chin yang juga merupakan usahawan dan personaliti media sosial sensasi.

Wanita terbabit menjelaskan bahawa kenderaan itu diberi kepada View Chin sebagai tanda penghargaan berikutan lelaki berbangsa Cina berkenaan berjaya berpuasa selama 28 hari di bulan Ramadan.

Mira turut mendedahkan bahawa dirinya pernah berjanji untuk menghadiahkan View Chin kereta Ferrari sekiranya berjaya berpuasa penuh namun kenderaan MPV dipilih kerana lebih bersesuaian buat lelaki berkeluarga.

Menerusi rakaman yang dikongsikan di platform TikTok itu, View dilihat begitu terkejut sehingga terdiam seolah-olah tidak menyangka bahawa Mira memberikan kereta mewah kepadanya sebagai hadiah.

View Chin bagaimanapun bersetuju bahawa kenderaan itu sememangnya lebih sesuai dan selesa untuk dinaiki bersama anak-anaknya dengan bekas isteri yang juga personaliti media sosial iaitu Shermine Ah Moi.

“Sekarang saya cuma ada kereta (yang lebih kecil) hingga anak-anak selalu bergaduh berebut tempat di ruangan duduk belakang. Situasi itu buatkan saya terfikir untuk memiliki kereta yang lebih besar dan selesa seperti ini.

“Memiliki sebuah MPV lagi sangat bermakna untuk saya. Saya tak sangka langsung Mira akan tunaikan janji dia dengan hadiah yang sebesar ini. Tak sangka dapat hadiah sebegini dan secepat ini,” katanya dalam rakaman itu.

Dalam perkongsian yang sama, View Chin juga sempat berseloroh bahawa Mira kini nampaknya lebih kaya daripadanya kerana nampu membeli kenderaan mewah berharga ratusan ribu ringgit sebagai hadiah.

Usahawan terbabit turut mendedahkan bahawa Mira juga sudah memiliki tiga kenderaan didaftarkan atas namanya selain berpendapat bahawa wanita berkenaan mungkin pandai menyimpan.

Baca juga: Bayar RM5k tapi kambing golek kurus kering, lauk tak cukup…satu keluarga bengang ditipu katering