Penyanyi rap, Ben Ladin kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas membuat pendedahan mengenai kegiatan penipuan kewangan yang didakwa dilakukan oleh ibu bapanya sendiri.
Ben berdasarkan hantaran dimuat naik di Instagram Story mendakwa bahawa kedua orang tuanya telah bertindak memperdayakan orang ramai untuk mendapatkan wang dengan menggunakan namanya.
Malah ada juga individu mendakwa mengalami kerugian melebihi daripada RM100,000 yang mana mangsa turut memberikan bukti berbentuk transaksi dan perbualan bersama bapa Ben kepada penyanyi itu.
Difahamkan, hantaran tersebut dimuat naik oleh pemilik nama sebenar Muhammad Benladin Munshi Shaihan itu di media sosial berikutan sudah penat dikejar pemiutang angkara perbuatan ibu bapanya.
“Berapa lama lagi saya perlu bertahan? Mula-mula fikirkan nak diam sahaja. Tetapi sampai dekat telinga sendiri yang diri ini telah diaibkan oleh orang yang kita jaga aibnya itu. Mana pergi duit Ben sendiri? Mana pergi duit datuk?.
“Mana pergi duit masa projek raya yang guna nama Ben? Mana juga duit mangsa-mangsa yang lain? Selama ini dia ambil gambar kad pengenalan dan tiru tandatangan aku untuk kesenangan hidup mereka berdua.
“Kes seorang akak ini lagi dahsyat. Dia kena (tipu) lebih dari RM100,000. Mulanya Ben ragu-ragu sebab jumlah dia besar. Tetapi akak ini berikan semua maklumat terperinci untuk bagi Ben faham,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut Ben lagi, mangsa penipuan dilakukan oleh ibu bapanya itu sudah ramai termasuk individu warganegara asing dan tidak terkecuali ibu bapa mereka sendiri iaitu datuk serta nenek penyanyi terbabit.
Oleh yang demikian, pelantun lagu Hikayat Benladin itu meminta agar ibu bapanya tampil untuk menyerah diri dan membantu menggantikan semula kesemua wang milik mangsa penipuan mereka.
Penyanyi berusia 24 tahun itu juga sempat meluahkan rasa penat selain memohon maaf kepada mangsa kerana tidak dapat membayar kesemua wang yang sudah ditipu kerana jumlah kerugiannya terlalu besar.
“Saya minta maaf sebab tiada cara lain boleh bantu sebab jumlah yang dikumpul semua sangat besar. Nak ‘back-up’ tak boleh walaupun mereka adalah mak ayah saya. Sebab yang salah, tetap salah.
“Ramai sudah buat laporan polis jadi saya harap tindakan diambil.” Kesalnya yang mengakui mendapat banyak panggilan telefon memintanya untuk menggantikan semula wang ditipu oleh ibu bapanya.
Baca juga: Tak akan dedah wajah, Elly Mazlein mahu anak membesar dengan selesa