Peguam ulas isu Jofliam dedah laporan polis dibuat Cik Epal, ini tindakan jika hadapi perkara sama

Oleh WAN SITI AMINAH

Laporan polis dibuat pempengaruh, Cik Epal berhubung kejadian pergaduhan yang berlaku di rumah sewa bekas suaminya iaitu Jofliam pada Isnin lalu telah tersebar di platform media sosial.

Dokumen berkenaan tersebar dipercayai selepas dimuat naik sendiri Jofliam yang juga merupakan usahawan piza menerusi satu hantaran di Instagram Story (IG) sebelum dipadam susulan menerima kecaman orang ramai.

Hangat diperkatakan di media sosial, isu ini turut meraih perhatian peguam iaitu Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang memaklumkan bahawa situasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

Menerusi penjelasan yang dikongsikan di platform TikTok, peguam itu menjelaskan bahawa mana-mana individu sebenarnya tidak boleh menyebarkan laporan polis yang dibuat oleh pihak lain.

Peguam itu turut meluahkan rasa hairan bagaimanakah Jofliam mendapatkan laporan polis berkenaan sedangkan kedua-dua belah pihak hanya boleh mengakses dokumen masing-masing jika kes dibawa ke mahkamah.

“Awak boleh dapatkan laporan polis apabila kes dibawa ke mahkamah. Contoh dipertuduhkan kemudian diserahkan melalui seksyen 51A kanun prosedur jenayah. Memang semua dokumen diserahkan.

“Ini termasuk laporan polis, laporan tangkap dan segala dokumen perbicaraan yang diserahkan kepada peguam ataupun tertuduh dalam kes tersebut. Selepas itu, barulah boleh tengok laporan polis yang dibuat oleh pihak lain.

“Tetapi kes masih siasatan, namun pihak di sebelah sana iaitu Jofliam boleh dapat laporan polis itu. Siapakah yang berikan?,” soal peguam terbabit dalam perkongsian video berdurasi dua minit 40 saat itu.

@aminahtulmardiah

Laporan polis cik epal disebarkan #lawyer

♬ Islam – Lafina

Menurut Nur Aminahtul, Jofliam tidak memiliki hak untuk berkongsi dokumen itu untuk tontonan umum kerana ia adalah perkara sulit selain memberikan saranan kepada Cik Epal untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Difahamkan, Cik Epal boleh melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di atas ketidaktelusan daripada pihak yang terlibat hingga menyebabkan tersebarnya dokumen sulit.

“Cik Epal perlu buat laporan kepada pihak JIPS dan IPCC (Suruhanjaya Bebas Tatakelola Polis) iaitu badan yang menyiasat ketirisan ataupun salah laku polis. Kalau betul tiada individu yang bagi akses.

“Mahupun tiada individu yang cetak, jadi daripada mana pihak sana dapat? Jofliam tidak mempunyai hak untuk kongsi laporan polis Cik Epal kerana itu bukan laporan dia.” Tegas peguam terbabit dalam perkongsian tersebut.

Baca juga: Tiada masa lagi untuk program realiti, Ayu Damit ‘target’ nak ada PhD