Pendaki maut di Gunung Rinjani kata ini pendakian terakhir, janji pergi haji tahun depan

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pendaki warga Malaysia iaitu Allahyarham Rennie Abdul Ghani dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika mendaki di laluan Toren, Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat pada tengah hari semalam

Mayat mangsa berusia 57 tahun itu bagaimanapun masih berada di lokasi kejadian setakat waktu Subuh tadi kerana belum boleh dikeluarkan oleh para petugas yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat berkenaan.

Menurut adik perempuan mangsa yang mahu dikenali sebagai Yana, jasad Allahyarham masih belum berjaya dikeluarkan petugas kerana lokasi kejadian agak curam dan mungkin mengambil masa lama, lapor Berita Harian.

Operasi dilakukan pelbagai agensi membabitkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian Dan Pertolongan.

“Selepas waktu Subuh tadi, jenazah abang masih di lokasi. Bantuan helikopter untuk bawa keluar jenazah tak boleh dibuat sebab lokasi jenazah terlalu curam. Pihak penyelamat cuba bawa keluar jenazah dari lokasi dengan berjalan kaki.

“Tetapi mungkin mengambil masa lama sebab kawasan gunung itu agak curam,” katanya memetik laporan Berita Harian yang turut memaklumkan mangsa menetap di Setia Alam, Johor Bahru bersama isteri dan anak-anak.

Dalam pada itu, Yana turut berkongsikan titipan terakhir dibuat oleh Allahyarham sebelum bulan Syawal dengan menyebut kepada keluarganya bahawa pendakian itu adalah yang terakhir akan disertainya.

Allahyarham memulakan pendakian bersama kumpulan seramai 23 orang di Gunung Rinjani pada 1 Mei dengan melalui laluan Sembalun sebelum dilaporkan terjatuh ketika mendaki di kawasan Banyu Urip.

“Dia sangat suka mendaki. Tetapi dia ada cakap sebelum raya, pendakian ini adalah yang terakhir. Dia nak masuk larian sahaja selepas ini. Kami pun berjanji nak pergi haji sama-sama satu keluarga tahun depan.

“Dia sangat teruja nak tunai haji tahun depan. Jika ikutkan pencarian di Google, keadaan tempat abang saya jatuh itu memang curam dan (pendakian) sangat sukar. Kebetulan seorang anak Allahyarham berada di Medan, Indonesia.

“Jadi dia akan ke Lombok hari ini dan menunggu jenazah di sana. Selepas itu, barulah hubungi Kedutaan Malaysia di sana untuk di bawa pulang,” kongsi adik mangsa yang dilaporkan terjatuh sekitar jam 1 tengah hari (waktu Malaysia).

Baca juga: Suami selebriti jadi dalang skim pelaburan, perdaya lebih 140 pelabur, anggaran kerugian RM43 juta