Luahan angkuh pelajar universiti dapat siapkan tugasan guna AI dikritik ramai

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pelajar dari sebuah universiti di Sarawak meluahkan rasa bangga dapat menggunakan jalan pintas menyiapkan tugasan dengan hanya menggunakan kepakaran kecerdasan buatan (AI).

Dalam satu perkongsian di Facebook Unimas Confession, pelajar itu berkata dia kasihan dengan pensyarah-pensyarah ‘boomers’ di universiti berkenaan yang terlalu mencuba untuk memberi tugasan berlambak kepada pelajar termasuklah tugasan saat akhir.

Katanya, cubaan itu langsung tidak menyulitkan urusan mereka kerana ia boleh diselesaikan dalam tempoh sehari sahaja dengan menggunakan AI.

“Jujur daripada hati saya lah kan, saya kesian dekat pensyarah Unimas terutamanya yang ‘boomers’. Mereka mencuba dengan terlalu keras untuk bagi tugasan berlambak tapi sikit pun tak menyukarkan kami.

“Kami boleh tutup mata je siapkan sehari sebelum dengan bantuan ChatGPT Premium, Deepseek dan Gemini. Tugasan kami semua letup-letup you alls.

“Siap petikan sumber dan rujukan. Hujung semester carry mark kami semua kaw-kaw padu atas 50%. Peperiksaan akhir pejam mata je nak dptkan 30% nak dapat markah A. Kesiankan dia orang tak dapat nak mainkan kita,” kata pelajar berkenaan.

Difahamkan, pelajar itu dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Perkongsian tersebut membuka ruang perbincangan meluas mengenai kemampuan menangani kesulitan kerja sebenar yang mungkin tidak boleh dibantu oleh AI.

Ia juga membangkitkan soal lebih utama iaitu kebergantungan berlebihan terhadap teknologi boleh menyebabkan pengetahuan am dan kemahiran asas tidak dapat diterjemahkan dengan berkesan.

“Pensyarah tu dia bagi joran je kat anda. Tapi umpan dan hasilnya andalah yang tentukan sendiri bagaimana. Umpan apa, ikan apa yang anda nak berdasarkan umpan yang diguna.

“Mereka tak buang masa pun sebab mereka dah jalankan tugas mereka pada anda. Cuma tugas anda pada diri lah bagaimana anda corakkan masa depan anda. Cemerlang dalam kertas, tak semua orang cemerlang dalam kemahiran hidup,” kata seorang pengguna Facebook.

Baca juga: Suami enggan belanja botol air harga RM30 walau bergaji RM3,000, isteri terfikir nak cerai