Satu rakaman memaparkan seorang lelaki berusia yang menghidap albino sedang mencari rezeki di tepi jalan di sekitar Pulau Pinang telah berjaya mengundang sebak orang ramai.
Mana tidaknya, lelaki digelarkan pak cik itu bukan sahaja gigih dalam mencari rezeki walaupun memiliki masalah penglihatan namun kata-kata yang keluar dari mulutnya juga sangat positif selain sentiasa tersenyum.
Menerusi satu perkongsian di platform TikTok, pak cik itu ketika menjawab soalan diutara perakam video mengakui menghidap albino dan menjual barangan penjagaan diri di sekitar Pulau Pinang untuk mencari rezeki.
Pak cik itu juga tidak menjadikan kekurangannya sebagai penghalang sebaliknya gigih menaiki bas dari rumahnya hampir setiap hari ke kawasan pelabuhan negeri tersebut yang dijadikan sebagai lokasi jualannya.
Antara barang-barangan penjagaan diri dijual oleh pak cik yang mempunyai tiga orang adik-beradik juga penghidap albino itu adalah tisu kering dan basah, cecair pembasmi kuman (sanitizer), sabun, minyak wangi dan sebagainya.
“Saya menjual di sini kadang-kadang pada waktu petang, kadang-kadang di pagi hari. Mata saya tidak berapa jelas, separa buta. Kurang dari segi penglihatan, tetapi saya tidak menganggap kecacatan sebagai penghalang untuk mencari rezeki.
“Saya bekerja keras juga. Kami tiga orang adik-beradik ada albino. Kami datang ke sini naik bas, satu perempuan dan dua lelaki. Mak saya cakap, cubalah berdikari sebaik yang mungkin,” katanya dalam rakaman itu.
Perakam video itu kemudian menyerahkan wang miliknya kepada pak cik berkenaan untuk membayar keuntungan yang seharusnya diraih pada hari tersebut supaya dapat pulang lebih awal namun hanya mengambil tisu basah.
Dalam perkongsian sama, pak cik terbabit turut berkongsi pendapatnya tentang kehidupan yang seharusnya dilalui dengan kegembiraan tanpa menjadikan kekurangan atau kececatan sebagai penghalang.
“Janganlah anggap kecacatan kita sebagai penghalang untuk bergembira. Kalau rasa kita cacat, ada orang lain yang lebih susah daripada kita. Saya masih boleh berjalan walaupun kurang pantas berbanding orang biasa.
“Saya boleh. Yakin kepada diri sendiri, Insya-Allah. Saya nak bergembira macam orang lain juga,” ujar pak cik terbabit berkongsi pandangannya dalam rakaman yang berdurasi dua minit 15 saat itu.

Baca juga: Wanita kritik iklan cari kerja tawar RM2,000 untuk jawatan ‘Head of IT’