Sebuah pesawat pejuang Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan tergelincir di landasan Pangkalan Udara Kepala Batas sebentar tadi.
Pesawat terbabit dipercayai terlibat dalam operasi latihan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 24 Mei ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika pesawat hendak mendarat bagi menjalani latihan penerbangan sebelum tergelincir di landasan.
Sementara itu, menurut kenyataan media rasmi, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berlakunya insiden kemalangan melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk yang mengalami masalah ‘nose landing gear’ semasa melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
Menurut kenyataan itu lagi, juruterbang pesawat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecedaraan. TUDM juga akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenalpasti punca kejadian dengan lebih terperinci.