Mengaku tiada rekod curang, ini alasan Edika Yusof komen ‘Hi’ dekat gambar wanita sebelum cerai

Oleh MALAYSIADATELINE

Gempar di media sosial baru-baru ini apabila aktor, Edika Yusof didapati meninggalkan komen ‘Hi’ di beberapa keping gambar wanita di platform Threads sebelum isu konflik rumah tangganya hangat diperkatakan.

Namun perkara lebih mencuri perhatian netizen adalah sikap Edika yang seakan tidak menyedari bahawa wanita dalam gambar tersebut tidak wujud sebaliknya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Tampil memberikan penjelasan, pemilik nama sebenar Muhammmad Yusof Abdul Majid itu menafikan komen sedemikian dituliskan dengan tujuan untuk menggatal dengan wanita yang dikatakan ‘model’ terbabit.

Namun pelakon berusia 58 tahun itu mengakui hanya menegur ‘model’ antarabangsa berkenaan untuk mencari peluang menjalinkan kerjasama berhubung pengeluaran produk penjagaan kulit dihasilkannya, lapor Oh Bulan.

Pelakon yang mula dikenali ramai menerusi filem popular, Maria Mariana itu juga mengakui tidak pernah memiliki rekod berlaku curang malah bekas isteri dan anak juga mempunyai akses terhadap telefon bimbit miliknya.

“Kita ada buat produk penjagaan kulit. Tetapi bekas isteri saya tidak tahu macam mana untuk berinteraksi dengan model antarabangsa. Jadi, saya menyapa dengan komen ‘Hi’ itu untuk ajak kolaborasi dengan mereka.

“Kalau mereka ada beri respons, baru saya akan lanjutkan dengan kolaborasi itu. Kalau saya curang, buat apa saya buat perkara itu secara terbuka di media sosial. Saya tidak pernah ada rekod curang.

“Telefon bimbit saya pun bekas isteri dan anak boleh buka,” kata pelakon yang pernah berehat dari dunia seni untuk menjaga isterinya ekoran lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua itu memetik laporan Oh Bulan.

Dalam penjelasan yang sama, pelakon itu juga mendakwa bahawa akaun Threads miliknya sebenarnya sudah lama tidak digunakan kerana telah digodam sekitar enam ke tujuh bulan lalu.

Edika juga tidak mengingati kali terakhir akaun tersebut digunakan selain kini hanya aktif di platform media sosial Instagram atau TikTok untuk berkongsikan perkara yang penting sahaja.

“Akaun saya kena godam. Kalau ikutkan, sudah enam ke tujuh bulan jugalah kena godam. Tetapi baru-baru ini katanya akaun saya itu masih aktif. Saya juga tak ingat bila kali terakhir akaun itu aktif digunakan.

“Sebab saya hanya aktif di Instagram dan TikTok sahaja. Tetapi itu juga saya hanya berkongsikan perkara yang penting sahaja.” Dakwa Edika dalam penjelasan tersebut.

Terdahulu, Edika melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya iaitu Nor Hidayah Yusri pada Isnin lalu sekitar jam 10.42 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur.

Edika melafazkan talak tersebut di hadapan hakim syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh selepas prosiding sebelum ini ditangguhkan ekoran Nor Hidayah berada di dalam keadaan tidak suci.

Sekadar info, Edika dan Nor Hidayah dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq yang kini berusia 20 tahun menerusi perkongsian hidup sejak 2003.

Baca juga: Durian Tupai King digelar durian bangsawan baru, harganya kalah ‘Black Thorn’