Kerap ditipu, Aliff Syukri serik nak bagi hutang, rasa macam pengemis bila nak tuntut bayaran

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang ni bila nak berhutang bukan main lagi manis mulut, berjanji yang baik-baik belaka tapi bila disuruh bayar terus lesap.

Meskipun bergelar usahawan berjaya, Datuk Seri Aliff Syukri bagaimanapun kesal memberi pinjam duitnya kepada orang lain selepas mereka gagal membayar hutangnya.

Bukan sedikit malah jumlah keseluruhan hutang yang tidak dibayar mencecah RM50 juta lapor Kosmo! Online.

“Saya ada ramai kawan yang hidup nampak mewah tetapi realitinya suka pinjam duit orang tetapi tidak bayar. Terlalu ramai pinjam dengan saya.

Pada akhirnya, bila saya nak minta semula duit, saya pula yang kena mengemis. Sebab itu saya tak ada kawan baik lain selain isteri sendiri.

“Saya sudah bertaubat, siapa pun nak jumpa, tidak kiralah menteri, datuk seri, mak cik atau pak cik sekali pun, saya sudah tidak percaya kerana terlalu kerap kena tipu,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Terlalu percaya dengan janji yang ditabur peminjam, Aliff menganggap ia sebagai satu pengajaran untuk tidak cepat terpedaya.

“Sebelum ini konsep saya, kalau orang tu nak pinjam RM1,000, saya beri dan anggap itu sebagai zakat sebab kalau sebagai pinjaman, akan jadi bergaduh.

“Jadi, sekarang biarlah saya susah senang dengan isteri dan keluarga sahaja.

“Saya juga beri pinjam kepada 50 orang tetapi 50 orang itu tak bayar semula duit saya. Tiada lagi yang nak bayar.

“Tapi, bila viralkan, orang kata saya berniat jahat, memang serik,” ujarnya.

Kini Aliff memilih untuk melantik peguam dan tindakan undang-undang diambil terhadap peminjam yang terlibat.

Jelasnya dia kini berusaha mendapatkan kembali haknya dan kebanyakan kes sedang berjalan di mahkamah serta perbicaraan masih berlangsung.

Baca juga: Kieda Crepe diminta berhenti buli pelanggan, guna peguam bila produk kena ‘complain’