Mengalir air mata Noorkhiriah masuk liang lahad, anggap hadiah terbesar dari Allah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Noorkhiriah tidak dapat menahan sebak apabila masuk ke dalam liang lahad ketika melakonkan salah satu babak mengharukan di dalam drama bersiri popular iaitu Seribu Tahun.

Menerusi satu perkongsian di platform Instagram, pemilik nama sebenar Noorkhiriah Ahmad Shapie itu dilihat mengenakan kain kapan untuk menjadi jenazah sebelum turun ke liang lahad.

Difahamkan babak itu tidak dilakonkan atas permintaan pengarah drama tersebut iaitu Shahrulezad sebaliknya merupakan inisiatif daripada Noorkhiriah sendiri untuk menghidupkan lagi wataknya.

Linangan air mata Noorkhiriah yang membawakan watak wanita lembam bernama Nor itu seolah menggambarkan keinsafan di dalam diri sehingga pelakon berusia 49 tahun terbabit menyampaikan pesan di ruangan kapsyen.

“Saat-saat memasukkan diri ke liang lahad dan saya yang minta daripada Shahrulezad. Gemuruh dan ‘blur’. Sampai sahaja di kubur, saya tergamam dan air mata juga tidak berhenti mengalir.

“Ya Allah, satu sahaja pesan saya. Jangan tinggalkan solat waima kita ini jahat sekali pun sekiranya ada rasa sayang dengan diri sendiri,” tulis pelakon berkenaan di ruangan kapsyen hantaran itu.

Dalam perkongsian tersebut, Noorkhiriah juga mengakui bahawa pengalaman masuk ke dalam liang lahad adalah antara hadiah paling hebat yang diberikan oleh Allah SWT buat dirinya.

Pelakon itu juga sempat mengenangkan suaminya yang turut memberikan hadiah cukup bermakna di hari ulang tahun kelahirannya pada bulan April lalu iaitu sepersalinan kain kapan.

Noorkhiriah juga tidak lupa menyampaikan penghargaan kepada Shahrulezad kerana banyak memberi tunjuk ajak dan peluang untuk masuk ke dalam liang lahad sekali gus merasakan momen yang cukup hiba itu.

“Terima kasih Allah di atas hadiah yang cukup besar dan izinkan saya masuk ke liang lahad. Dua hari sebelum hari jadi saya, suami hadiahkan kain kapan. Dosa banyak sampaikan Allah beri nikmat ini. Momen ini sangat mahal.

“Buat Shahrulezad, mata saya menjadu saksi betapa sukarnya abang demi drama Seribu Tahun. Terima kasih dan akan simpan rapi dalam hati. Semoga setiap ketukan abang menjadi saham pahala.

“Dimulut abang juga tidak lekang mengatakan semua ini dilakukan kerana Allah. Buat yang menonton dan komen, percayalah watak Nor berdiri atas izin Allah. Tanpa izin-Nya, kaku keras saya tak ke mana, terima kasih Tuhan,” katanya.

Babak masuk ke dalam liang lahad itu dirakamkan untuk menunjukkan proses pengebumian watak Nor yang meninggal dunia akibat lemas ketika mencari akar bunga teratai di tasik.

Baca juga: Bakal pengantin sedih dikutuk pakcik makcik hanya kerana buat majlis nikah kecil-kecilan