Ramai terharu Kak KM hadiahkan cincin emas kepada Ustazah Asni, doa diberikan hidayah

Oleh WAN SITI AMINAH

Keakraban yang ditonjolkan oleh usahawan sensasi, Kak KM ketika meluangkan masa bersama pendakwah bebas terkenal iaitu Ustazah Asni Mansor telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di platform TikTok, kedua-dua personaliti datang daripada dua bidang jauh berbeza itu dilihat tidak kekok malah saling bergurau seperti sahabat lama.

Difahamkan Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli itu memandu sendiri kenderaan miliknya ke rumah Ustazah Asni untuk berkunjung dan memberikan hadiah istimewa buat pendakwah berkenaan.

Rupa-rupanya, usahawan berusia 43 tahun itu membawa bersama beg berisi barangan perhiasan berupa sebentuk cincin emas sebagai hadiah bersempena hari ulang tahun Ustazah Asni.

Pendakwah itu kemudian berseloroh mahu ‘bermanja’ dengan meminta Kak KM menyarungkan cincin tersebut di jari manisnya sebelum mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan usahawan terbabit.

“Terima kasih. Semoga Allah melapangkan hidup. Seperti mana Kak KM membahagiakan orang lain, begitu jugalah Allah membahagiakan dunia akhirat, limpahkan hidayah dan rahmat untuk Kak KM juga,” pinta Ustazah Asni.

Dalam perkongsian seterusnya, Kak KM berkongsi video mereka berdua ‘merempit’ bersama untuk mengelilingi kawasan kampung Ustazah Asni yang dipercayai terletak di Negeri Sembilan.

Kak KM dalam video berkenaan memaklumkan bahawa dirinya dibonceng Ustazah Asni menggunakan motosikal milik pendakwah terbabit untuk mencari kelapa di kedai sekitar kampung tersebut.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memberikan respon positif terhadap keakraban yang ditonjolkan oleh kedua-dua personaliti terbabit.

Ramai juga pengguna memuji sikap Ustazah Asni yang langsung tidak memilih di dalam bergaul malah Kak KM juga diberikan layanan cukup baik walaupun personaliti dan latar belakang mereka jauh berbeza.

Kak KM juga dihujani dengan kiriman doa dalam ruangan komen yang mengharap usahawan terbabit dikurniakan dengan hidayah oleh Allah SWT untuk menjadi peribadi lebih baik dan tentunya berhijab suatu hari nanti.

Baca juga: Apa sebenarnya maksud NFA dalam kes simbah asid Faisal Halim? Ini penjelasan Bukit Aman