Seorang murid Tahun Enam menjadi perhatian ramai dengan bakat luar biasanya dalam bidang seni lukis.
Menurut perkongsian gurunya di Facebook, murid itu disifatkan mempunyai kecerdasan yang berbeza berbanding murid lain biarpun dia tidak begitu cemerlang dalam akademik.
Katanya, murid itu memiliki sentuhan seni yang istimewa apabila berjaya menghasilkan lukisan kartun kegemarannya dengan sangat tepat, seakan-akan salinan asal.
“Salah seorang murid tahun 6 saya, akademiknya mungkin biasa sahaja, kelas terakhir tapi korang tengoklah bakat dia ini,” tulis gurunya, Haiqal Iskandar.
Susulan gambar yang dimuat naik oleh Cikgu Haiqal, warga maya mula melahirkan rasa kagum dan memuji kebolehan murid tersebut yang dianggap mampu pergi jauh dalam dunia seni lukis.
Ternyata murid tersebut selama ini suka membuat pelbagai lakaran pada buku tulis sekolahnya secara rahsia. Dapat dilihat, buku tulisnya diisi dengan pelbagai lukisan watak kartun dan doodle.
Bagi tahap kanak-kanak sekolah rendah, gambar yang dilukis murid terbabit cukup baik dan kemas.
Baca juga: “Ini yang duduk dekat paru-paru saya” – Wasiat terakhir penghisap vape tegar undang keinsafan