Ketiadaan dokumen rasmi pastinya menyukarkan pihak untuk membuktikan tanah yang ada sudah diwakafkan.
Malah proses itu akan menyebabkan pewaris cuba menuntut semula tanah yang diwakafkan secara lisan.
Pengerusi Masjid An Najwan, Hamzah Zakaria dari Kampung Pegoh pada mulanya buntu memikirkan penyelesaian apabila waris menuntut harga tanah wakaf itu berjumlah RM213,000.
Apatah lagi tanah yang diwakaf dibuat secara lisan dan tiada dokumen rasmi lapor Harian Metro.
“Alhamdulillah masjid sudah dapat geran tanah wakaf ini dengan nombor lot sementara PT 2920 dan bebas daripada tuntutan waris pewakaf.
“Masjid ini dibina pada 1967 dan tanah tapak berkeluasan 1.337 ekar adalah atas dasar wakaf mulut saja, tiada dokumen rasmi.
“Tanah asal adalah milik adik-beradik. Sekitar 2000, ada ura-ura mengatakan waris ingin mengambil semula tanah wakaf itu dan menuntut bayaran sekitar RM60,000.
“Sebelum kedua-dua pewakaf meninggal dunia, hak milik tanah bertukar kepada anaknya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Segala isu bermula selepas pemilik meninggal dunia dan timbul kes menuntut tanah oleh keluarga isteri, anak serta menantu arwah.
Kongsi Hamzah, meskipun beberapa kali perbincangan dibuat ia tetap gagal.
“Pada 2017 saya selaku timbalan dilantik sebagai pengerusi dan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) membuat resolusi bagi membeli tanah tapak masjid dan mula berurusan dengan pihak terbabit termasuk Maim dan waris.
“Satu tabung khusus untuk membeli tanah itu dilancar dengan kebenaran Maim pada 20 November 2020 dan berjaya mengumpul dana RM240,000 hasil infaq orang ramai biarpun ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan akibat pandemik Covid-19.
“Pada 2022 Maim membayar RM177, 324.98 kepada tuan tanah daripada dana yang dikumpul dan keluasan tanah yang dibeli adalah 0.1093 hektar dengan no lot sementara PT 2920,” katanya.
Hingga kini identiti penyumbang dana tidak dimaklumkan dan Maim hanya berkongsi ada individu menginfak sebanyak RM80,000.
Malah sebahagian dana masih tersimpan di bank untuk perbelanjaan ubah suai masjid.
“Masjid berusia 58 tahun ini terselamat dari tuntutan namun kini masjid ini memerlukan pembaikan termasuk naik taraf bumbung yang bocor, pendawaian semula, laluan khas orang kurang upaya dan kedudukan tandas lelaki dan wanita.
“Kita memerlukan dana kira-kira RM500,000 untuk kerja-kerja ini,” kongsinya.
Baca juga: Anak muda ini raih RM7,000 sebulan jadi pekebun sawit