Masih bersedih selepas kematian isteri, pelakon veteran akui takut jika mati sendirian

Oleh MALAYSIADATELINE

Selepas bertahun hidup bersama, kehilangan suami atau isteri pastinya memberi kesan kepada pasangan yang masih hidup.

Tidak hanya itu, jika dulu semua aktiviti dilakukan bersama, kini semua terpaksa dihadap sendirian sahaja.

Begitulah perasaan pelakon veteran, Harun Hashim selepas kehilangan isteri tercinta Sakinah Ganjali pada November tahun lalu lapor Harian Metro.

“Saya rasa kosong dan sunyi. Saya kini patah sebelah kaki. Selama ini dia menemani saya ke mana saja. Dialah yang jaga jadual kerja termasuklah tolong tengokkan arah jalan.

“Sampai sekarang saya masih lagi menangis. Tiada siapa yang tahu kesedihan yang saya tanggung,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelasnya lagi antara ketakutan yang dialaminya selepas kehilangan isteri adalah jika dia mati sendirian dan hanya ditemui selepas sudah berkulat.

“Saya tak berani nak cakap kerana takut dikatakan tak sedar diri dengan usia begini. Saya juga takut orang kata kalau kahwin hari ini, esok lusa saya pula mati.

“Jujurnya bila tinggal sendirian, ada kebimbangan akan mati sendirian. Saya paling takut orang jumpa saya dalam keadaan sudah berulat,” katanya.

Meskipun sudah berusa, Harun bersyukur masih menerima tawaran bekerja namun terpaksa mengehadkan ia di atas faktor kesihatan dan masalah kesihatan.

“Saya ada masalah darah tinggi, kencing manis dan kolestrol. Alhamdullilah setakat ini tawaran sentiasa ada, tapi tak semua yang saya terima.

“Saya hanya terima mana yang perlu, dapat satu ‘job’ pun dah cukup untuk menampung hidup selama enam bulan.

“Lagipun saya susah nak bergerak dengan penglihatan yang terhad, biasanya produksi yang akan hantar dan jemput ke lokasi,” katanya.

Harun yang memiliki enam anak hasil daripada perkahwinan terdahulu berkata, anak-anak ada datang melawat apabila mereka mempunyai waktu terluang.

Baca juga: Aliff Syukri dedah perbelanjaan isi rumah cecah RM60,000 sebulan