Pemuda kongsi bagaimana buka kedai dobi boleh bagi keuntungan lumayan dalam masa 3 tahun

Oleh KIM SYAZIE

Kesuntukan masa dan faktor cuaca di Malaysia yang panas dan lembab menjadikan menjadikan kedai dobi secara layan diri ini satu pelaburan yang berbaloi.

Lebih-lebih lagi untuk pengguna yang mahu menjimatkan masa menjemur, dan tidak mempunyai banyak masa untuk menguruskan cucian di rumah.

Pernahkah anda terfikir berapa banyak wang yang diperlukan untuk membuka sebuah kedai dobi?

Menurut seorang pengguna TikTok, @Zarif Azrie, anggaran kos pembukaan kedai dobi adalah sekitar RM100,000 hingga RM300,000.

Ia tidak termasuk penyelenggaraan bulanan yang perlu ditanggung, namun mampu memberikan keuntungan lumayan jika bijak mengurusnya.

Kami kongsikan lanjut mengenai kos dan keuntungan membuka kedai dobi;

Kos Permulaan

Menurut Zarif, kos permulaan yang perlu ada untuk membuka sebuah dobi adalah antara RM100,000 ke RM300,000, bergantung kepada lokasi dan saiz kedai.

Jumlah wang ini termasuklah anggaran kos sewa, renovasi, mesin basuh, pengering, mesin tukar wang, sistem keselamatan, papan tanda dan permit perniagaan.

Bagi penyelenggaraan bulanan, anggaran jumlah yang perlu disediakan setiap bulan secara kasar adalah sekitar RM6,000 hingga RM11,000 sebulan.

Kos ini melibatkan pecahan bil elektrik, bil air, kos penyelenggaraan, gaji pekerja, dan juga sabun cuci.

Jika anda inginkan Return of Investment (ROI) atau balik modal dalam jangka masa tiga tahun, jumlah kos permulaan perlu dibahagikan dengan 36 bulan.

Contohnya, bagi modal pembukaan awal sebanyak RM150,000, jualan minima yang diperlukan adalah RM4,167 sebulan. Manakala bagi mereka yang mengeluarkan modal awal sebanyak RM300,000 pula, harus mendapatkan jualan minima sebanyak RM8,333 sebulan.

Berapa anggaran pendapatan jika nak untung?

Adat berniaga, pasti kita menginginkan keuntungan daripada setiap hasil perniagaan.

Jadi, pendapatan kasar yang perlu anda capai setiap bulan adalah antara RM10,300 hingga RM22,500.

Baca juga: Pendapatan hanya RM285 sebulan tapi anak 5, Datuk Bandar tegur golongan miskin