Pemandu lori tampil mohon maaf, dedah kronologi anak gajah dilanggar – “Hanya sempat sebut nama Allah”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang individu yang mengakui dirinya adalah pemandu lori terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli hingga mengakibatkan kematian seekor gajah tampil membuat permohonan maaf.

Permohonan maaf tersebut disampaikan melalui seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Kakak Raptor selaku orang tengah dengan memuat naik rakaman berdurasi lima minit 10 saat di akaun TikTok miliknya.

Dalam rakaman itu, Kakak Raptor berkongsikan tangkap layar perbualan menerusi pesanan secara terus (DM) yang dipercayai dihantar oleh pemandu lori berkenaan untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Pemandu lori yang membawa muatan ayam itu mengaku bahawa kejadian tersebut berlaku pada sekitar jam 2 pagi selepas tugas untuk memandu kenderaan berat berkenaan diambil alih olehnya daripada seorang rakan.

“Satu lori ada dua pemandu. Saya memandu lori 7500 tan dengan muatan ayam sebanyak 360 bakul, berat dalam 10 tan lebih kurang. Saya sampai ke tempat kemalangan itu selepas melalui satu selekoh. Saya sudah nampak seekor gajah.

“Waktu itu haiwan terbabit berdiri di sebelah kanan jalan dan sedang memakan rumput atau dedaun di tepi besi penghalang. Sewaktu itu, jarak penglihatan boleh dapat dilihat. Kabus ada, tetapi nipis. Maksudnya saya melihat jelas gajah itu pijak rumput.

“Jadi saya kurangkan kelajuan itu tanpa menekan pedal minyak. Kaki masih di atas pedal brek dengan lori masih bergerak dalam kelajuan yang minimal dalam 30 ke 40 kilometer sejam (km/j). Saya perhatikan, gajah itu berdiri tenang dan tiada tanda agresif,” katanya.

Situasi bagaimanapun berubah apabila seekor anak gajah meluru keluar daripada hutan di sebelah kiri secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pemandu lori berkenaan tiada sempat menghentikan kenderaan.

Pemandu sudah mencuba mengelak dengan memusing stereng ke arah kanan namun masih terkena anak gajah tersebut sehingga binatang penyayang itu terpelanting tidak jauh daripada lokasi kejadian.

@kakakraptor

Bismillahirrahmanirrahim 🤲🏻 semoga Allah permudahkan urusan semua pihak 🤲🏻 #kakakraptor #gajah #lori

♬ Very Sad – Enchan

“Pada awalnya anak gajah itu tiada di samping induk yang saya lihat sebelum ini. Betul-betul haiwan itu ada di depan lori, mulut ini hanya sempat sebut nama Allah. Saya masih di haluan kiri jalan ini pusingkan stereng ke arah kanan namun masih terlanggar anak gajah.

“Anak gajah tidak terpelanting terlalu jauh sebab lori tak laju. Tetapi nak berhenti ambil masa jugalah. Kegagalan ‘cluth’ pula menjadi punca saya tiada mampu mengawal gear lori. Paip minyak pula putus. Jadi minyak brek keluar habis. Lori mati dalam posisi gear.

“Saya dan kelindan berada dalam keadaan gelisah, takut dan bingung dengan kejadian yang belaku pertama kali dalam hidup selama memandu di jalan berbukit di dalam tempoh tujuh tahun. Bawa treler sudah lima tahun, lori ayam pula dalam dua tahun,” kongsinya.

Pemandu lori terbabit turut menjelaskan situasi di sebalik rakaman yang memaparkan gelagat kelindannya ketawa sewaktu kejadian hingga orang ramai menuduh mereka tidak bersimpati di atas kematian anak gajah berkenaan.

Kejadian itu juga menyebabkan pemandu lori itu menjadi sasaran kecaman melampau dari orang ramai sehingga anaknya mengalami gangguan emosi seperti didedahkan oleh Kakak Raptor.

“Saya memang kalah dalam dunia digital ini. Sebab apa-apa kejadian boleh dilihat dan ditularkan. Yang gelak di dalam video itu kelindan saya apabila melihat keadaan lori itu. Mungkin ketawa keluar didorong dari perasaan takut dan gementar sebab lori itu milik syarikat.

“Saya minta maaf kepada semua rakyat seMalaysia dan sejauh mana maklumat tentang anak gajah ini. Saya tak mampu. Saya seorang hamba Allah yang bergerak di atas kehendaknya, sekian.” Kesalnya.

Baca juga: Cairkan plastik dalam minyak masak untuk buat makanan lebih rangup? Netizen terus waswas lepas tengok video