Tinggalkan komen jelik kepada anak Dr Amalina, pemungut sawit didenda RM3k

Oleh MALAYSIADATELINE

Ramai dilihat tidak menjaga kata-kata di media dan meninggalkan komen tanpa mengira perasaan orang lain.

Bila disaman dan ditahan barulah sedar akan kesilapan sendiri namun tak pernah berfikir akan akibat yang bakal dihadapi disebabkan perbuatan tersebut.

Seorang pemungut kelapa sawit dihukum denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang semalam lapor Harian Metro.

Ini adalah selepas dia membuat hantaran lucah terhadap bayi perempuan pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri, tiga tahun lalu.

“Saya merayu, ini kesalahan pertama, dengan nama Allah saya berjanji tidak akan ulangi perkara tidak berfaedah ini lagi,” rayu Ahmad Nasir Kadiri.

Disebabkan itu, hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Nasir selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki berusia 58 tahun itu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pada masa sama, Ahmad Fuad sempat menasihati OKS sebelum menjatuhkan hukuman supaya lebih berwaspada ketika membuat sebarang komen di media sosial.

“Apabila telefon berada di tangan, kita boleh buat pelbagai komen, kita boleh tohmah atau fitnah sesiapa sahaja.

“Contohnya seperti kesalahan kamu hari ini, semuanya dipantau oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia),” katanya.

Ahmad Nasir yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan tidak berkemampuan dan masih menanggung seorang anak yang masih belajar di universiti.

Difahamkan lelaki itu didakwa menggunakan Facebook Bro Nasir, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu dilihat di Tingkat 8, Menara MCMC, Cyberjaya, dekat sini pada jam 11.52 pagi, 3 Januari 2023 mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) .

Ini membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Baca juga: Proton e.MAS 7 dapat sambutan, secara purata satu unit dibeli rakyat Malaysia setiap jam