Proton e.MAS 7 dapat sambutan, secara purata satu unit dibeli rakyat Malaysia setiap jam

Oleh KIM SYAZIE

Sebanyak 2,716 unit Proton e.MAS 7 dihantar kepada pelanggan di seluruh Malaysia dan pasaran eksport dalam tempoh hanya empat bulan bermula pada Januari lalu.

PRO-NET, anak syarikat milik penuh Proton memaklumkan secara purata satu unit e.MAS 7 telah dimiliki oleh rakyat Malaysia pada setiap jam.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, perkembangan tersebut menandakan satu pencapaian yang cukup membanggakan.

Proton e.MAS 7 terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju segmen kenderaan elektrik (EV) dengan 863 unit termasuk pasaran tempatan dan eksport berada di atas jalan raya pada bulan April lalu sahaja.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya itu menguasai pasaran sebanyak 26 peratus di Malaysia untuk empat bulan berturut-turut.

“Kami amat berterima kasih kepada semua pelanggan kami atas keyakinan berterusan yang diberikan.

“Hakikatnya, satu unit telah terjual pada setiap jam membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk melangkah ke arah masa depan mobiliti elektrik bersama Proton e.MAS 7.

“Kepercayaan dan sokongan ini yang menjadi pemangkin kepada kejayaan ini,” katanya.

Lebih 2,500 titik

PRO-NET terus memperluas jaringan pengecasannya melalui Peta Pengecasan Langsung Bersepadu yang kini mencatat lebih 2,500 titik pengecasan dan meliputi lebih 90 peratus kawasan di seluruh negara.

Kemudahan itu boleh diakses dengan mudah melalui sistem navigasi kereta dan aplikasi Proton e.MAS.

Lebih 1,000 titik pengecasan sudah tersedia di 397 lokasi kediaman seluruh Malaysia bagi pemilik e.MAS 7 yang tinggal di kondominium atau pangsapuri.

Dalam masa sama, PRO-NET juga sentiasa bekerjasama dengan pengendali pengecas baharu untuk memastikan setiap pemilik e.MAS 7 mudah mencari tempat pengecasan di mana sahaja mereka berada.

Harga Proton e.MAS 7 bagi varian e.MAS 7 Prime adalah RM109,800 manakala e.MAS 7 Premium adalah RM123,800.

Pada masa ini, rebat pelancaran sebanyak RM4,000 ditawarkan kepada 6,000 pelanggan pertama, menjadikan Harga e.MAS 7 Prime adalah RM105,800 dan RM119,800 bagi e.MAS 7 Premium.

Setiap pembelian dalam tempoh promosi ini turut disertakan dengan pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500, adaptor V2L percuma bernilai RM500 dan data internet tanpa had selama 5 tahun bernilai RM1,800.

Pelanggan juga bakal menikmati jaminan kenderaan selama enam tahun tanpa had perbatuan, jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km serta rebat tukar beli eksklusif untuk pemilik Proton sedia ada bernilai RM1,200.

Baca juga: Caprice dakwa CEO Batu hantar gambar tak senonoh, remaja 14 tahun jadi mangsa?