Lelaki Korea sorok telefon dalam seluar ‘kecik’, rakam diri dalam lokap di Malaysia

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang lelaki dipercayai warganegara Korea mendakwa telah ditahan ‘secara salah’ oleh pihak berkuasa Malaysia dengan memuat naik satu rakaman memaparkan dirinya berada di dalam sebuah lokap.

Menerusi rakaman yang dimuat naik di media sosial, lelaki terbabit menyifatkan penahanan berkenaan sebagai satu kesilapan memandangkan dirinya adalah mangsa dalam kejadian berlaku di pesawat.

Menurut lelaki itu, kejadian berlaku selepas dirinya duduk di kerusi sebelah seorang penumpang warga asing ketika menaiki penerbangan daripada Bali, Indonesia menuju ke Hong Kong, lapor Korea JoongAng Daily.

Warga asing itu kemudian didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman dan mengancam lelaki warga Korea terbabit secara fizikal semasa penerbangan berlangsung sebelum pesawat tersebut transit di Malaysia.

Lelaki terbabit kemudian ditahan di salah satu lapangan terbang di Malaysia bersama penumpang lain oleh pihak berkuasa di sini kerana telah disalah anggap sebagai ‘penyerang’ dalam kejadian itu.

Warga Korea itu mendakwa telah menunjukkan rakaman berdurasi dua jam memperlihatkan kesalahan dilakukan penumpang asing terbabit kepada pihak polis namun bukti tersebut dikatakan turut ditolak.

Rakaman di pusat tahanan dengan ciri keselamatan tinggi itu dikatakan dibuat dengan menggunakan sebuah telefon tidak berdaftar yang diseludup dan disembunyikan oleh lelaki Korea terbabit di dalam seluar dalamnya.

Dalam rakaman itu, kelihatan beberapa individu dengan pakaian penjara berwarna jingga yang mana mereka sedang duduk atau berbaring dalam ruangan terkurung menyerupai pusat tahanan.

“Badan saya dipenuhi dengan lebam. Gari di tangan juga sangat ketat sehingga saya kehilangan deria di jari. Saya mahu dunia tahu apa yang polis Malaysia lakukan. Harap tiada orang lain jadi mangsa seperti saya,” katanya dalam perkongsian di media sosial.

Difahamkan, bantuan konsular sudah diberikan kepada individu terbabit bagaimanapun pihak kementerian Korea enggan memberikan butiran lanjut mengenainya kerana memiliki keperluan untuk melindungi privasi.

Mengikut dasar bantuan konsular Korea, kerajaan negara berkenaan menawarkan sokongan kepada warganegara yang terlibat dalam insiden berlaku di luar untuk melindungi keselamatan dan hak undang-undang mereka.

Sokongan diberikan dalam bentuk maklumat berhubung undang-undang di negara lokasi kejadian berlaku, nasihat perundangan awal, rujukan kepada peguam serta jurubahasa tempatan.

Kakitangan konsular bagaimanapun tidak menawarkan perwakilan undang-undang secara langsung mahupun mencampur tangan di dalam penyiasatan negara tuan rumah atau prosiding kehakiman.

Baca juga: Dr Zakir Naik pilih berhijrah ke Malaysia kerana sifatkan negara ini paling baik untuk umat Islam