Isteri warga Iran kongsi keadaan terkini, dedah punca akses internet dan panggilan disekat

Oleh WAN SITI AMINAH

Ketegangan yang semakin memuncak di antara Iran dan Israel selepas dua seteru itu terlibat di dalam peperangan nampaknya tidak menunjukkan tanda-tanda bakal reda dalam waktu terdekat.

Peperangan tersebut bagaimanapun dijangka berlarutan selama seminggu atau lebih lama berikutan kedua-dua belah dilihat belum memberi isyarat berdamai sebaliknya menggandakan serangan antara satu sama lain.

Dalam perkembangan baharu, Iran telah melaksanakan sekatan keselamatan baharu termasuklah membataskan penggunaan internet dan catuan bahan api di tengah ketegangan yang semakin memuncak.

Keadaan ini juga memberi kesan kepada rakyat tempatan khususnya mereka yang memiliki pasangan warganegara Iran seperti kerisauan dialami oleh seorang wanita dikenali sebagai Azreen mengenai keadaan keluarga mentuanya.

“Suami saya adalah orang Iran dan keseluruhan keluarga mentua masih berada di sana sekarang. Perkembangan terkini adalah kami tidak dapat berhubung dengan ahli keluarga di Iran disebabkan akses internet dan juga talian panggilan masuk disekat.

“Kami rasa tindakan ini diambil oleh kerajaan Iran sendiri untuk mengurangkan risiko digodam Israel atau kuasa luar lain. Tetapi orang yang berada dalam Iran masih boleh menghubungi antara satu sama lain ataupun membuat panggilan ke luar negara.

“Mentua saya ada telefon dan beritahu mereka baik-baik sahaja. Tetapi mereka di dalam Iran juga tidak dapat tahu perkembangan semasa kerana tiada akses internet malah stesen televisyen juga diserang. Serangan masih berterusan sehingga kini,” katanya.

Menurut Azreen, perkongsian tersebut bukanlah dibuat untuk meraih simpati orang ramai sebaliknya hanya mahu memaklumkan perkembangan terkini mengenai situasi terkini berhubung pergolakan di negara itu.

Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati perkongsian yang dimuat naik di platform TikTok itu sudah mendapat sebanyak 33,600 tontonan dan rata-rata pengguna tampil mengirimkan doa buat rakyat Iran.

“Suami saya mungkin akan balik ke Iran kerana tak dapat berhubung dengan keluarga. Dia juga mungkin dipanggil untuk pertahankan keluarga. Jadi dia kemungkinan balik ke sana menggunakan jalan darat. Hal ini tidak pasti lagi tetapi suami sudah tinggalkan wasiat untuk saya.

“Saya bukanlah nak meraih simpati. Mungkin ini adalah sebahagian dari perjalanan hidup yang saya perlu lalui. Harap kamu semua dapat menyokong dan mendoakan agar peperangan ini terhenti dan tiada lagi kemusnahan berlaku.” Ujarnya.

Terdahulu, Iran baru-baru ini dilaporkan menghantar lebih 100 dron ke wilayah Israel sebagai tindakan balas kepada serangan daripada rejim zionis ke atas pelbagai sasaran dilancarkan mereka di Tehran.

Tindakan diambil selepas Israel melancarkan serangan sehingga membunuh Ketua Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Salami serta dua saintis nuklear terkemuka iaitu Mohammad Mehdi Tehranchi dan Fereydoun Abbasi.

Serangan bagaimanapun berterusan berikutan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan alasan melakukan kempen pengeboman kononnya untuk menghentikan program nuklear Tehran.

Iran pula berkeras dengan pendirian mereka dan enggan menamatkan program pengayaan uranium yang didakwa menjadi sebahagian dari usaha negara terbabit untuk membangunkan senjata nuklear.

Baca juga: Siap pegang kayu! Wanita mengamuk lori sampah berhenti depan rumah