Potensi perniagaan buah-buahan tempatan dijangka terus melonjak apabila kebergantungan terhadap buah-buahan import mula berkurang.
Ia susulan langkah kerajaan mengenakan SST sebanyak lima peratus ke atas buah-buahan import seperti oren, epal, pear dan pisang.
Pun begitu kata ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul, beliau menyedari wujud gesaan agar kerajaan mempertimbang semula pelaksanaan SST itu, namun beliau percaya keputusan yang akan dibuat Perdana Menteri kelak tidak akan membebankan rakyat.
‘Saya melihat potensi peniaga buah-buahan tempatan akan menerima manfaat tidak langsung apabila kebergantungan kepada import mula berkurang.
“PMX adalah seorang pemimpin yang amat prihatin terhadap nasib rakyat. Percayalah, beliau tidak akan membenarkan dasar atau langkah kerajaan menekan kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan keyakinan kerajaan MADANI hari ini adalah kerajaan yang mendengar termasuk kegusaran rakyat mengenai kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Beliau yang dikenali sebagai Altimet berkata, kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan segala suara, pandangan, dan keluhan rakyat.
Menurutnya, dalam usaha untuk menjana pendapatan negara demi masa depan yang lebih kukuh dan berdaya saing, kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan yang paling seimbang menambah hasil negara tanpa membebankan rakyat.
“Perlu saya jelaskan bahawa SST ini pada asasnya adalah cukai yang bersifat progresif dan tidak menyasar kepada golongan berpendapatan rendah.
“Ia dikenakan secara terpilih dan jika terdapat kelemahan atau ketidakselesaan dalam pelaksanaannya, saya yakin kerajaan sedia meneliti dan menambah baik dari semasa ke semasa.
“Sebagai contoh, ada kekeliruan berkenaan cukai ke atas buah-buahan import seperti epal dan oren yang sebenarnya kita nikmati setiap hari.
“Dalam hal ini, saya yakin kebijaksanaan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyelesaikan kegusaran rakyat,” katanya lagi.
Baca juga: “Suami berhenti kerja lepas kahwin, siap hutang RM1k dengan abang dia, yang kena bayarnya aku…”