Penutupan ‘lubang tikus’ beri kesan, kes dadah di Kelantan turun 5.4 peratus

Oleh MALAYSIADATELINE

Penurunan kes penyalahgunaan dan penagih dadah di Kelantan sebanyak 5.4 peratus tahun ini menunjukkan keberkesanan dalam usaha menutup ‘lubang tikus’ di sempadan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 11,280 penagih direkodkan dari Januari hingga Mac tahun ini, berbanding 11,928 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

Di Kelantan, kadar penagih bagi setiap 100,000 penduduk turun kepada 597 orang, berbanding 632 orang tahun sebelumnya lapor Harian Metro.

“Kategori dadah yang menjadi pilihan utama penagih di Kelantan dadah jenis ATS dengan majoriti 89.3 peratus atau 10,071 orang bagi tempoh sehingga Mac 2025.

“Melalui data yang ada, menunjukkan perkembangan positif bagi tempoh suku pertama tahun ini.

“Namun kita tidak boleh berasa selesa kerana masih terlalu awal untuk menganggap situasi penagihan dadah dan bahan terlarang berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan dan pencegahan akan terus diperhebat bagi memastikan isu ini dapat dibendung secara menyeluruh dan berkesan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tambahnya, kejayaan ini turut disumbang oleh kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok serta penutupan pangkalan haram sejak Disember lalu, selain komitmen pihak berkuasa sempadan.

Shamsul Anuar turut menjelaskan, penurunan kes dadah di Kelantan juga hasil daripada usaha pencegahan yang bersasar dan meluas oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Baca juga: Peniaga buah tempatan akan dapat manfaat dengan SST baharu, kenapa ya