Juruteknik hilang beberapa jari, terima pampasan RM319 juta!

Oleh MALAYSIADATELINE

Kemalangan di tempat kerja adalah salah satu insiden yang boleh berlaku secara tiba-tiba dan memberi kesan besar kepada keselamatan serta kesejahteraan pekerja.

Ia bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal seperti terjatuh, terkena mesin, atau terdedah kepada bahan kimia berbahaya, malah boleh membawa kesan psikologi dan kewangan jangka panjang.

Seorang juruteknik menerima pampasan luar biasa melebihi AS$75 juta (RM319 juta) selepas kehilangan beberapa jarinya dalam satu insiden letupan tragik.

Mangsa, Brian Mierendorf, mengalami kecederaan parah dalam kejadian yang berlaku di sebuah premis milik syarikat peruncitan terkenal, Kroger, di Detroit, Michigan.

Menurut peguamnya, Jon Marko, letupan berlaku apabila bahan penyejuk yang rosak meledak di kedai tersebut pada Februari 2022 lapor The Sun.

Dalam usaha penuh keberanian, Brian dilaporkan bertindak pantas cuba menyelamatkan pelanggan daripada terdedah kepada bahan kimia berbahaya.

Namun dirinya sendiri menjadi mangsa kecederaan yang mengubah hidupnya selama-lamanya.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, letupan berkenaan melepaskan bahan kimia toksik dikenali sebagai R-22, sejenis penyejuk yang lazim digunakan dalam sistem penyaman udara kediaman.

Sejak insiden tragis itu pada tahun 2022, Brian Mierendorf terpaksa menjalani 25 pembedahan dalam usaha menyelamatkan jari-jarinya yang cedera teruk.

Keperitan yang ditanggung bukan sahaja fizikal, tetapi turut memberi kesan besar kepada kehidupannya sekeluarga.

Akhirnya, pada 17 Jun lalu, panel juri sebuah mahkamah memutuskan untuk menganugerahkan pampasan berjumlah lebih AS$75 juta (RM319 juta) kepada Brian dan isterinya, Heather, sebagai ganti rugi terhadap penderitaan yang dialami.

Baca juga: Ibu terkejut jumpa RM50 koyak dalam tong sampah, anak gunting macam bunga rampai