Sumbangan dalam dunia seni diiktiraf, Rita Rudaini terima pingat darjah kebesaran Perlis

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Rita Rudaini melakarkan sejarah peribadi selepas hampir 28 tahun berkecimpung dalam dunia seni apabila menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis kali ketiga di Istana Arau, Perlis semalam.

Anugerah diterima Rita dalam majlis diadakan sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail itu adalah Pingat Jasa Baik (PJB).

Pingat tersebut diberikan sebagai tanda pengiktirafan di atas sumbangan dan pencapaian wanita berusia 49 tahun itu dalam bidang seni terutamanya lakonan selain kerja-kerja kebajikan dilakukannya sebelum ini, lapor Kosmo.

Rita yang dikenali sebagai antara pelakon paling konsisten di dalam industri hiburan tempatan itu memanjatkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan diterimanya dalam satu majlis penuh istiadat tersebut.

“Saya amat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis atas penganugerahan ini. Anugerah ini adalah satu penghormatan besar dan rezeki.

“Bukan hanya untuk diri tetapi juga buat anak-anak dan semua yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” kata pemilik nama sebenar Rita Rudaini Mohammad Mokhtar itu memetik laporan Kosmo.

Pelakon filem Mami Jarum itu juga mengakui bahawa penghargaan tersebut turut menyuntik semangat dalam dirinya untuk terus berkarya dengan lebih tekun selain berharap dapat memberi inspirasi kepada anak seni lain.

Dalam pada itu, Rita juga tidak lupa untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Negeri Perlis dan semua pihak yang banyak memberi sokongan sepanjang kerjayanya.

“Ini juga sebagai peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas dan jujur akan ada nilainya, tidak kira lambat atau cepat. Saya berharap agar pengiktirafan ini turut menjadi inspirasi kepada anak seni lain

“Agar mereka terus berkarya dengan penuh dedikasi dan menjaga maruah kerjaya sebagai insan seni. Terima kasih kepada pihak Exco Kerajaan Negeri yang terbabit atas pengiktirafan ini. Insya-Allah, akan ada banyak aktiviti bersama mereka nanti.

“Tidak terkecuali kepada semua pihak seperti penerbit, pengarah dan penggiat seni yang sentiasa menghargai bakat saya. Tidak dilupakan kepada semua rakan media dan peminat yang tanpa henti memberi sokongan. Dari dulu sampai sekarang.” Ujar Rita.

Baca juga: Guru terkejut dapat tahu anak murid Tingkatan 1 masih tak pandai membaca