Ibu kelabu mata dapat hibah RM800k, anak tergamam duit licin dalam masa setahun

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa terhadap ibunya yang didakwa menghabiskan wang hibah sebanyak RM800,000 dalam tempoh setahun, tanpa sebarang perancangan kewangan yang jelas.

Menurut luahannya, wang tersebut tidak digunakan untuk membeli rumah, tanah, menunaikan haji, apatah lagi untuk tujuan kebajikan seperti wakaf atau infaq.

Sebaliknya, ibunya didakwa membelanjakan duit secara boros sehingga hanya berbaki puluhan ribu ringgit sahaja.

“Mak aku habiskan RM800,000 dalam setahun duit hibah. Tak beli tanah, tak buat rumah, tak buat wakaf, infaq ke apa. Belum pergi haji. Emas keluar masuk pajak.

“Sekarang tinggal berapa puluh ribu je. Saya tak boleh bayang macam mana resahnya dia bila duit dah habis. Duit bukan hasil titik peluh sendiri memang jadi boros.

“Seumur hidup tak pernah pegang duit tu jadi jakun. I tak boleh bayang duit dah habis nanti. Kalau orang berjudi tu merugikan. Ini berbelanja cara halal pun lebur. Pengurusan duit gagal. Dah nasihat dr awal tak dengar,” katanya dalam satu hantaran yang tular.

Dia juga mendakwa ibunya membelanjakan wang semata-mata untuk membeli 10 ekor lembu korban, selain membantu rakan-rakan melabur dengan nilai puluhan ribu ringgit tanpa jaminan pembayaran balik.

Isu tersebut turut mendapat perhatian ramai warganet yang berkongsi pengalaman serupa.

Ada yang berkongsi kata-kata hikmat, bahawa orang miskin yang tidak pandai menguruskan duit akan kembali miskin walau seberapa banyak duit yang mereka ada.

Baca juga: Pemuda bengang rim motosikal kena rembat, padahal parkir sebelah pondok keselamatan!