Akaun media sosial milik Universiti Malaya (UM) berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi gambar suasana ketika sesi pendaftaran pelajar baharu di institusi pendidikan berkenaan.
Mana tidaknya, pengendali akaun tersebut bukan sahaja berkongsi wajah teruja dan gementar para pelajar ketika memasuki alam universiti malah turut memaparkan foto ‘peneman setia’ mereka di kolej kediaman.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform Threads itu, pengendali akaun berkongsi sekurang-kurangnya 15 gambar bantal busuk yang dibawa oleh pelajar ketika mendaftar masuk ke universiti tersebut.
Namun perkara yang lebih mencuit hati adalah pihak UM turut mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada bantal busuk terbabit kerana sudah menjadi sebahagian daripada warga kampus itu.
“Tahniah kepada semua bantal busuk yang lulus masuk UM,” tulis pengendali akaun di ruangan kapsyen hantaran yang mengundang perbincangan hangat di kalangan pengguna platform Threads itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terhibur melihat gambar dikongsikan oleh UM selain mengakui turut membawa bantal busuk ketika masuk ke universiti.
Ramai juga pengguna tidak menafikan bahawa bantal busuk sememangnya mempunyai peranan tersendiri termasuk memberi sokongan emosi kepada para pelajar ketika waktu gembira, sedih mahupun tertekan.
“Nasib baiklah zaman dahulu tiada media sosial. Kalau tak, bantal busuk saya juga masuk di dalam perkongsian ini. Saya punya bantal kucing besar dan dinosaur kecil berwarna merah,” kata seorang pengguna.
“Saya bijak sedikit. Minta ayah datang hantar bantal busuk kemudian. Jadinya orang tak nampak aib saya.” Kongsi pengguna lain mengenai pengalaman mereka membawa ‘peneman’ ketika mendaftar masuk ke universiti.
Baca juga: Didakwa amang seksual kanak-kanak lelaki dalam tandas, penggali kubur mengaku tidak bersalah