Penyanyi lagu Bae Sobar Bae, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail yang baru sahaja dibebaskan dari penjara Thailand semalam buat pertama kalinya tampil membuat kenyataan pertamanya.
Katanya selepas melalui ujian ini, dia akan akan membina kehidupan dengan menyusun semula langkahnya secara perlahan-lahan.
Luahan itu dimuat naik oleh Eda Ezrin menerusi Instagram Story miliknya yang kembali aktif selepas pulang ke negara ini semalam.
“Alhamdulillah tidak ada kata yang mampu menggambarkan rasa syukur dan sebak yang saya rasakan saat ini.
“Setelah melalui detik-detik yang begitu mencabar dalam hidup, akhirnya saya kembali menjejak tanah air tercinta. Ujian ini bukan mudah, namun dengan doa yang tidak pernah putus dari keluarga, sahabat dan anda semua yang ikhlas menyokong dari jauh, saya temui kekuatan untuk terus bertahan.
“Terima kasih kerana tidak pernah membelakangkan saya. Izinkan saya menyusun semula langkah, perlahan-lahan, dengan penuh harapan dan doa. Moga Allah membalas setiap kebaikan kalian,” tulisnya.
Semalam penyanyi Kelantan itu dibebaskan selepas mahkamah menarik pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda dan penyalahgunaan dadah dari Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.