Bapa Amir Raja Lawak jalani pembedahan kedua, sempat pesan jangan nangis depan PM

Oleh WAN SITI AMINAH

Bapa kepada pelawak, Amir Raja Lawak yang menghidap kanser usus perlu menjalani pembedahan buat kali kedua hari ini selepas jahitan daripada prosedur pertama dijalani pada bulan lalu terkoyak atau terbuka semula.

Perkara itu didedahkan oleh Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi menerusi satu perkongsian dimuat naik di platform Facebook ketika memaklumkan perkembangan terbaharu berhubung kesihatan bapanya.

Menurut Amir, bapanya sempat menyampaikan pesanan sebelum menjalani pembedahan agar anaknya menjadi lelaki sejati dan tidak menitiskan air mata ketika bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hal ini berikutan bapanya mengambil maklum mengenai kunjungan pemimpin nombor satu negara itu ke kedai milik Amir terletak di kawasan Kota Bharu, Kelantan yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.

“Beg kencing Abah saya tadi keluar darah sebab ada luka. Abah saya juga letih dan tak larat sebab lapar. Kerana dia perlu berpuasa sekejap sebelum menjalani pembedahan. Abah tahu hari ini saya akan bertemu YAB PM (Yang Amat Berhormat Perdana Menteri).

“Jadi dia pesan, ‘Amir jangan menangis depan PM, orang lelaki kena gentleman dan kuat’. Insya-Allah, saya kuat. Apa yang datang saya hadap. Sekarang adalah hari saya. Perkara yang terjadi sekarang adalah ujian buat diri saya, Alhamdulillah.

“Saya percaya dan yakin Allah tidak akan menguji lebih dari kemampuan hambaNya. Insya-Allah,” kata pelawak yang kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas menuntut bayaran tertunggak RM18,000 dari sebuah stesen televisyen bagi menampung rawatan bapanya.

Dalam perkongsian yang sama, Amir turut mendoakan supaya pembedahan kedua itu berjalan dengan lancar selain berharap bapanya terus kuat semangat melawan penyakit dan kembali sembuh seperti sediakala.

Terdahulu, Amir menerusi perkongsian di platform sama menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk singgah ke gerai miliknya selepas mengetahui keberadaan pemimpin itu di Kelantan.

Difahamkan, Anwar kini berada di negeri Pantai Timur itu untuk menghadiri Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Kelantan diadakan di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Baca juga: Shila Amzah tidak akan beri kenyataan peribadi, serah kes kepada peguam