Penyewa letak 5 syarat gila kepada ‘owner’, mahu rumah ada air-cond dan bil api kongsi 50-50

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengguna media sosial yang juga ejen rumah berkongsi pengalaman lucu tetapi mencabar ketika berurusan dengan seorang individu yang mahu menyewa rumah.

Pengguna Threads itu memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp antara dia dan bakal penyewa di mana individu terbabit menetapkan lima syarat kepada pemilik sebelum bersetuju untuk menyewa.

Antara syaratnya termasuk pemilik rumah perlu memasang penghawa dingin di semua bilik dan berkongsi bil api, air jika ia melebihi RM200 sebulan.

Individu itu juga mahukan pemilik mengecat semula rumah kepada warna putih, memasang kabinet dan ‘table top’ di dapur, serta tidak mengambil deposit utiliti.

“Allahuakbar apa ujian aku hari ini. Semoga dipermudahkan urusan. Saya bantu bukan maknanya saya jadi butler akak,” tulisnya di kapsyen perkongsian tersebut.

Dalam perbualan WhatsApp itu juga, penyewa memaklumkan tidak mahu terikat dengan perjanjian sewa rumah.

Perkongsian itu tular di Facebook dan mendapat perhatian ramai.

Mereka berpendapat syarat ditetapkan penyewa itu tidak masuk akal lebih-lebih lagi apabila mahukan pemilik membayar separuh bil elektrik dan air.

Baca juga: Bapa Amir Raja Lawak jalani pembedahan kedua, sempat pesan jangan nangis depan PM